Berita Utama

Gabungan Rakyat Sabah nama baharu penyatuan PN, BN dan PBS

Guna secara rasmi selepas 26 September jika berjaya bentuk kerajaan negeri

TUARAN, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Gabungan antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Sabah kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam pertemuan khas semalam dengan pemimpin tertinggi ketiga-tiga parti.

“Hasil daripada pertemuan penting semalam, saya ingin mengumumkan bahawa keputusan telah diambil untuk menamakan gabungan parti (di Sabah) yang bersama-sama dengan perjuangan kita sebagai Gabungan Rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan dengan calon-calon gabungan itu untuk kerusi DUN Sulaman, ketua Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, di ibu pejabat Bersatu di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, nama gabungan itu digunakan secara rasmi selepas 26 September ini jika berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Katanya, gabungan itu akan bekerja sebagai satu pasukan untuk membentuk satu kerajaan negeri baharu yang sama-sama berjuang untuk memajukan Sabah.

“Semalam kita duduk bersama parti yang sudah sepakat berjuang untuk rakyat Sabah yang kita bela dan majukan.

“Kami semua bersatu hati untuk bekerja sama-sama membentuk kerajaan selepas 26 September ini. Dalam gabungan ini pertamanya adalah PN bersama BN dan PBS (Parti Bersatu Sabah),” katanya.

Katanya, tiada parti lain dapat menandingi gabungan itu selagi PN mentadbir Kerajaan Persekutuan yang dipimpinnya.

Sehubungan itu, katanya, Sabah juga mesti diperintah oleh kerajaan yang sama.

“Ini kerana masih banyak usaha kita perlu lakukan. Pembangunan menang sudah banyak tetapi belum cukup dan perlu diperelokkan lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button