Hanya kerana ditegur, tergamak ‘penagih dadah’ pukul ayah, ibu
Suspek mengamuk, pukul kepala mangsa guna kayu: Polis
KEPALA BATAS, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Seorang penagih dadah tergamak memukul ibu, ayah dan adik perempuannya menggunakan kayu hanya kerana ditegur membuat bising dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, bapa berusia 70 tahun menegur anak lelakinya berumur 37 tahun kerana membuat bising di dalam rumah sehingga mengganggu orang lain yang sedang tidur.
“Suspek disyaki di bawah pengaruh dadah berang dan mengamuk sebelum mengambil sebatang kayu lalu berlaku pertengkaran antara ayah dengan anak lelakinya.
“Suspek kemudian bertindak memukul kepala mangsa dengan menggunakan kayu yang dipegang, ibu dan adik perempuan suspek cuba meleraikan pergaduhan itu turut dipukul,” katanya.
Noorzainy berkata, lelaki itu melarikan diri sebaik mengetahui adiknya menghubungi polis manakala tiga mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Kepala Batas.
“Akibat daripada kejadian itu, ayah suspek mengalami kecederaan luka pada bahagian sebelah kiri kepala, ibu (68 tahun) luka pada bahagian atas kepala manakala adik perempuannya (23 tahun) lebam pada bahagian belakang badan, bahu dan tangan. Kesemua mangsa mendapatkan rawatan di HKB sebelum dibenarkan pulang,” katanya.
Menurutnya, usaha mengesan suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu giat dijalankan dan polis percaya dia masih berada di sekitar daerah SPU.
Kes disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan menggunakan kayu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau dengan denda, atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripadanya, katanya. – Bernama