Berita Utama

Hanya pendidikan satu aliran mampu harmonikan kaum

Sudah 63 tahun merdeka, rakyat tak boleh lagi terpisah angkara politik kepartian sempit

BANGI, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) mengajak semua pihak menjadikan Penyata Razak 1956 sebagai asas untuk mewujudkan sekolah satu aliran, demi menyatukan semua kaum dalam satu bumbung pendidikan. 

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, angka 63 tahun kemerdekaan sepatutnya menjadikan pemimpin serta masyarakat am seluruhnya matang untuk memikirkan bentuk dan acuan pendidikan yang sesuai buat generasi akan datang.

Ini supaya rakyat tidak terpisah lagi dalam kerangka politik kepartian dan perkauman sempit, katanya.

“Tahun ini kita meraikan Hari Kebangsaan bertemakan Malaysia Prihatin. Semangat ini perlu disemarakkan dalam segenap kehidupan rakyat terutama di peringkat sekolah lagi demi mewujudkan perpaduan dan menyuburkan patriotisme terhadap watan,” katanya dalam satu kenyataan, harini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemerdekaan sewajarnya mendidik rakyat menjadi bangsa yang menjunjung Perlembagaan dan berdiri teguh dengan prinsip Rukun Negara. 

“Kes mengibar Jalur Gemilang terbalik, tidak menghormati lagu Negaraku, mempersoalkan tulisan Jawi adalah satu bentuk generasi yang tidak menghargai semangat patriotisme. 

“Anak-anak dari bangku sekolah perlu diajar erti menghargai lagu Negaraku, menghormati prinsip Rukun Negara dan menyanjung keluhuran Perlembagaan serta mengelak isu-isu sensitif seperti kontrak sosial, bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan kedaulatan raja-raja Melayu,” katanya.

Bagi merealisasikan perkara ini, Ustaz Mohd Azizee berkata, perlu ada kesungguhan untuk mewujudkan satu aliran pendidikan yang menaungi kepentingan semua kaum.

“Ia supaya semua murid pelbagai kaum bangsa dapat bersatu hati menerima ilmu di bawah satu bumbung sistem persekolahan sejak dari usia tadika lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button