Berita UtamaDunia

Jihad Islam Palestin kecam perjanjian normalisasi Bahrain-Israel

Palestin panggil balik Duta Besarnya ke Manama untuk rundingan

GAZA, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Kumpulan pejuang Jihad Islam Palestin mengecam perjanjian normalisasi negara penjajah Israel dengan Bahrain yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam.

Kumpulan itu menyatakan bahawa perjanjian itu memperlihatkan penyerahan rejim Manama kepada Washington.

Jurucakap Kumpulan pejuang Jihad Islam Palestin, Dawood Shihab berkata, perjanjian itu mencerminkan hak penjagaan AS di Bahrain yang mana Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa dan kerajaannya bertindak atas arahan dan perintah AS.

Beliau menyifatkan kesepakatan itu sebagai ‘kejatuhan politik baharu dan diharapkan’ selepas Liga Arab mengetepikan draf resolusi Palestin yang mengutuk perjanjian antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel untuk menjalin hubungan diplomatik penuh.

Perjanjian itu menyusul selepas UAE dan Israel turut memeterai perjanjian pada 13 Ogos lalu, yang mendapat kecaman meluas oleh rakyat serta kerajaan Palestin, menganggapnya sebagai ‘pengkhianatan’.

Israel dan Bahrain pada Jumaat bersetuju untuk menjalin hubungan diplomatik, perjanjian memulihkan hubungan yang kedua dicapai dengan negara Arab selepas UAE.

Perjanjian terbaru itu dimuktamadkan ketika perbualan telefon antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa, menurut kenyataan bersama AS-Bahrain-Israel yang disiarkan di Twitter Trump.

Presiden AS mengundang Bahrain untuk turut serta dalam majlis menandatangani perjanjian yang akan diadakan di Rumah Putih antara UAE dan Israel pada 15 September.

Serentak pengumuman itu, Palestin memanggil balik Duta Besarnya ke Manama untuk berunding dan membincangkan mengenai langkah-langkah yang perlu.

Bahrain bakal muncul negara Arab keempat yang menandatangani atau bersetuju untuk memeterai perjanjian pemulihan hubungan dengan Israel, selepas Mesir (1979), Jordan (1994) dan UAE (2020). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button