Berita Utama

Kluster baharu dikesan di Sabah

49 individu disaring, semua saringan babit warganegara Filipina

KUALA LUMPUR, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Kementerian Kesihatan mengenal pasti satu kluster baharu COVID-19 dalam kalangan pendatang tanpa izin di Sabah, dikenali Kluster Laut yang dikesan di Kunak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster (kes ke-9859) itu merupakan seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau, Sabah yang telah dihantar pulang ke negara asalnya di Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.

Namun katanya pada 5 September lalu individu itu menyusup masuk semula ke Sabah melalui jalan tikus untuk melawat isterinya.

“Isteri (kes indeks) (iaitu kes ke-9860) pula dikesan positif COVID-19 pada 8 September ketika saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif COVID-19 telah dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (kes ke-9861 dan kes ke-9862).

Menurut Dr Noor Hisham hingga hari ini, seramai 49 individu telah disaring dalam kluster itu dan semua saringan membabitkan warganegara Filipina.

Daripada jumlah itu, empat kes dikesan positif, 14 individu negatif dan 31 individu lagi masih menunggu keputusan, katanya.

“Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti. Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button