Berita UtamaDunia

Selepas UAE, Bahrain pula ‘berdamai’ dengan negara haram Israel

Hamas anggap negara Arab tikam belakang perjuangan Palestin

TEL AVIV, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Negara penjajah Israel dan Bahrain bersetuju untuk menjalinkan hubungan diplomatik, lapor Anadolu Agency.

Perjanjian terbaru itu dimuktamadkan dalam panggilan telefon antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa, menurut kenyataan bersama AS-Bahrain-Israel yang diterbitkan di Twitter oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Penduduk Israel, saya amat teruja untuk memaklumkan bahawa kita bakal mencapai satu lagi perjanjian damai bersama sebuah negara Arab, iaitu Bahrain.

“Ia mengikuti perjanjian damai bersama UAE. Ia mengambil masa 26 tahun untuk mencapai perjanjian kedua bersama negara Arab.

“Namun bagi perjanjian damai ketiga, hanya selepas 29 hari, perjanjian damai dicapai dengan negara Arab ketiga dan keempat.

“Ini era baharu bagi keamanan. Keamanan untuk keamanan. Ekonomi untuk ekonomi,” kata Netanyahu.

Pemerintah autoriti Palestin dan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) bagaimanapun mengecam kesepakatan normalisasi hubungan antara Bahrain dan negara haram Israel itu. 

Mereka menyifatkan langkah yang dilakukan Bahrain, termasuk negara Arab lain yang menormalisasi hubungan dengan Israel, seperti menikam dari belakang.

“Ini adalah tikaman di belakang perjuangan bangsa dan rakyat Palestin,” kata Menteri Sosial Palestin, Ahmad Majdalani.

Sementara itu, Hamas menyatakan, langkah Bahrain itu merupakan bentuk perjanjian yang hanya memberi impak serius terhadap perjuangan Palestin.

Sebelum ini, Bahrain menolak untuk mengikut jejak UAE melakukan perhubungan diplomasi dengan Israel selagi tiada jaminan yang memutuskan kemerdekaan Palestin.

Bagaimanapun, semalam, negara itu bersetuju untuk menandatangani kesepakatan damai dengan Israel pada 15 September ini di White House Putih, di mana UAE juga akan menandatangani kesepakatan yang sama.

Bahrain menjadi negara Arab keempat yang menormalisasi hubungan dengan Israel, selain Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button