Wanita Uyghur dipaksa gugur janin jika tak ikut syarat jarak kelahiran
China tak peduli kewarasan hidup, martabat asas manusia di Xinjiang
LONDON, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Kira-kira 80 peratus wanita yang mencapai usia subur di empat wilayah prefektur diduduki Uyghur menjadi sasaran pensterilan paksa.
Menurut laporan akademik Adeian Zenz dan Persekutuan Intra-Parlimen mengenai China (IPAC), wanita Uyghur dikenakan pengguguran paksa terutamanya jika tidak mematuhi syarat jarak kelahiran Parti Komunis China (CCP).
Secara amnya, wanita Uyghur perlu menunggu antara tiga atau empat tahun untuk mendapatkan anak semula selepas kelahiran.
Salah seorang bekas tahanan, Zumret Dawut berkata, wanita Uyghur di kem tahanan diberikan ubat yang membuatkan mereka sangat lesu bahkan kitaran haid terhenti.
“Kami juga disuntik dengan bahan yang tidak diketahui sekali minggu,” katanya menceritakan pengalaman ngeri menerusi webinar anjuran Campaign for Uyghurs, sebuah pertubuhan hak asasi manusia dan kebebasan demokratik untuk Uyghur dan rakyat Turki yang lain, baru-baru ini.
Ziba Murat, wanita Uyghur yang menetap di Virginia serta anak perempuan kepada pesara doktor perubatan yang ditahan kerajaan China berkata, beliau tidak tahu mengenai keberadaan ibunya yang dibawa ke kem penumpuan pada 11 September 2018.
Sementara itu, Duta Besar untuk isu wanita global yang juga ahli panel, Kelley Currie berkata, CCP sering menunjukkan sikap tidak peduli terhadap kewarasan kehidupan serta martabat asas manusia dan ini yang sedang berlaku di Xinjiang.
“Usaha mereka menyerang identiti teras Uyghur di peringkat keluarga sangat merosakkan sehingga kami sering kekurangan kosa kata untuk menjelaskan betapa ngerinya ini,” katanya.
CCP menahan sekurang-kurangnya lapan juta rakyat Uyghur dan minoriti lain di ‘kem penumpuan’. Laporan mendakwa sekurang-kurangnya 80,000 rakyat Uyghur dihantar bekerja di kilang di seluruh China yang bertentangan dengan kehendak mereka. – Agensi