Berita Utama

19 ditahan, 31 didenda ingkar PKPP di pusat hiburan haram

Siasatan dapati premis beroperasi tanpa lesen perniagaan sah

KUALA LUMPUR, 25 Muharram 1442H, Ahad – Sebanyak 19 warga asing ditahan dan 31 yang lain didenda kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin@ Hilmi.

Beliau berkata, mereka dikesan melakukan kesalahan itu semasa polis Brickfields menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Kuchai Entrepreneurs Park, di sini pada 2.45 semalam.

“Dalam pemeriksaan itu, polis menahan seorang wanita dipercayai pengurus pusat itu, seorang lelaki Bangladesh, lima lelaki Vietnam dipercayai kakitangan pusat itu, dan 13 wanita Vietnam disyaki menjadi pelayan (GRO). Kesemua suspek berumur 18 hingga 41 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah,” katanya dan menurutnya kesemua suspek direman 14 hari mulai semalam.

Zairulnizam berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji seorang individu atau lebih banyak individu yang bukan warganegara atau pemegang Permit Masuk yang tidak mempunyai pas sah; Seksyen 4 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Kawasan Jangkitan) (No.7) 2020.

Beliau menasihatkan pemilik pub, kelab malam dan premis perniagaan untuk tidak menggaji pekerja asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan dan dokumen kerja yang sah.

Zairulnizam berkata, kesemua 31 orang yang masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 itu merupakan warga Malaysia berumur antara 20 dan 50 tahun.

“Mereka semua didenda kerana berada di premis melebihi masa operasi yang dibenarkan di bawah PKPP,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button