Berita Utama

5,648 unit hartanah di Johor tak terjual

Kerajaan negeri sedang muktamad skim sewa beli mudahkan proses beli hartanah

ISKANDAR PUTERI, 25 Muharram 1442H, Ahad – Sebanyak 5,648 unit hartanah membabitkan pelbagai jenis kediaman di Johor tidak terjual setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Ayub Jamil.

Beliau berkata, unit hartanah ini termasuklah kediaman jenis kos rendah bertingkat dan kondominium mewah. 

“Di seluruh Johor, terdapat sebanyak 5,648 hartanah tidak terjual dengan jumlah terbesar di Johor Bahru sebanyak 4,765 unit.

“Selain itu, antaranya Batu Pahat (290 unit), Kluang (270), Kulai (147) dan Pontian (86),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar) yang ingin tahu mengenai jumlah unit hartanah tidak terjual di Johor serta pelan dan perancangan kerajaan negeri untuk memastikan lot-lot rumah Bumiputera yang tidak terjual di negeri ini dapat dilepaskan kepada pembeli lain.

Ayub berkata, kerajaan negeri sedang memuktamadkan satu skim sewa beli untuk memudahkan proses pembelian hartanah di Johor.

Katanya, skim itu membabitkan hartanah yang dijual dengan anggaran harga antara RM300,000 dan RM1.25 juta. 

“Usaha ini dibuat berikutan masalah utama pembelian hartanah adalah kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada bank. Itu isu utamanya. 

“Bagaimanapun, skim ini berbeza dengan skim biasa. Pembeli hanya perlu menyediakan RM3,000 berbanding sekurang-kurangnya RM30,000 untuk pembayaran pendahuluan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu akan membantu pembeli yang tidak perlu menanggung komitmen awal yang besar. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button