Berita Utama

PRU15 mungkin tidak boleh dilaksanakan tahun ini: Penganalisis

Bukan PRU baharu yang diperlukan, tetapi kerjasama semua Ahli Parlimen

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Zulkaedah 1442H, Rabu – Bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas Belanjawan 2022 barangkali benar, kerana ia mungkin strategi Perdana Menteri untuk berdepan dengan cabaran getir politik yang dilalui kini, kata penganalisis politik.

Pun begitu, Dr Mazlan Ali berkata, hasrat mengadakan PRU pada tahun ini mungkin tidak boleh dilaksanakan memandangkan membubarkan Parlimen termasuk dalam kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda boleh untuk tidak bersetuju terhadap permintaan membubarkan Parlimen.

“Jika dilihat kepada titah Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu baru-baru ini, antara inti pati utama yang dizahirkan adalah mengadakan sidang Parlimen segera dan menegaskan perlunya ada pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh.

“Maka, jelas dilihat bahawa Agong dan Raja-Raja Melayu mahu supaya sidang Parlimen dibuka supaya undang-undang boleh dibahaskan agar ia lebih berkesan untuk berdepan dengan wabak COVID-19 yang mengancam rakyat dan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas mengenai hasrat pengukuhan kerajaan yang dizahirkan Seri Paduka Baginda, Dr Mazlan berkata, ia mungkin boleh ditafsirkan kepada beberapa kemungkinan.

Antara yang utama, katanya, adalah mewujudkan kerajaan perpaduan antara semua parti, selain mewujudkan satu kerajaan baru yang diterajui seseorang yang mendapat sokongan majoriti

“Maka, penyelesaian politik yang memerlukan kerjasama semua Ahli Parlimen mungkin sangat sesuai dalam situasi negara berdepan krisis pandemik ini, bukan satu PRU baru, yang mungkin akan menyukarkan negara.

“Ini kerana belum tentu PRU15 boleh menyelesaikan kemelut politik yang berpanjangan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian mendedahkan bahawa Tan Sri Mahiaddin Yassin memberi gambaran bahawa PRU15 akan berlangsung pada akhir tahun ini iaitu selepas Belanjawan 2022 dibentangkan.

Osman dilaporkan berkata, gambaran berkenaan diberikan Mahiaddin ketika mesyuarat Bersatu Johor yang berlangsung secara maya pada 16 Jun lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya musim hujan berlaku di kebanyakan negeri terutama di pantai timur disebabkan monsun timur laut pada ketika itu, tidak mustahil PRU15 akan ditunda sehingga awal tahun hadapan.

PRU15 juga, katanya, akan diadakan sekiranya kes baharu COVID-19 mencatatkan penurunan sebagaimana disasarkan kerajaan, selain berjaya membentuk imuniti kelompok 60 hingga 80 peratus penduduk yang telah divaksin di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button