Berita UtamaDunia

Oman sokong hubungan Bahrain dengan negara haram Israel

Muscat kononnya berharap keputusan itu dapat damaikan Israel-Palestin

MUSCAT, 25 Muharram 1442H, Ahad – Oman menyambut baik keputusan Bahrain menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel – walaupun dianggap sebagai pengkhianatan terhadap Palestin.

Agensi berita Reuters melaporkan, kerajaan Muscat berharap keputusan Bahrain itu kononnya dapat menyumbang kepada perdamaian Israel-Palestin.

Bahrain pada Jumaat bersetuju mengadakan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) melakukan perkara sama pada 13 Ogos lalu. 

“Oman berharap strategi baru ini yang diambil oleh beberapa negara Arab akan menyumbang kepada perdamaian berdasarkan pendudukan Israel di tanah Palestin. 

“Pada masa sama, dapat menubuhkan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata pemerintah dalam satu kenyataan.

Beberapa hari selepas perjanjian UAE-Israel dimeterai, pemimpin Israel mendakwa Oman turut akan menormalisasikan hubungan dengan Israel. 

Meskipun Oman menyokong keputusan UAE dan Bahrain bagi menormalisasikan hubungan dengan Israel, namun negara itu masih belum memberi sebarang komen untuk melakukan perkara sama.

Pada tahun 2018, Benjamin Netanyahu mengunjungi Oman bagi membincangkan inisiatif perdamaian di Timur Tengah dengan pemimpin Oman ketika itu, Sultan Qaboos.

Di wilayah yang bergolak, Oman telah mengekalkan pendiriannya, iaitu menjaga hubungan persahabatan dengan pelbagai negara dan wilayah termasuk seteru Amerika Syarikat dan Iran. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button