Dunia

Keluarga tebusan Israel sekat kemasukan bantuan ke Gaza

Penunjuk perasaan tutup jalan, halang trak di sempadan Karm Abu Salem

GAZA, 14 Rejab 1445H, Jumaat – Keluarga tebusan Israel menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza untuk dua hari berturut-turut.

Menurut akhbar Israel, Haaretz, keluarga tebusan bersama aktivis sayap kanan Israel menyekat laluan trak bantuan ke Gaza melalui sempadan Karm Abu Salem.

Penunjuk perasaan menutup jalan ke persimpangan dan menghalang trak yang sarat dengan bantuan kemanusiaan daripada melalui sempadan itu.

“Kami berada di sini untuk menunjukkan kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bahawa dia boleh menghentikan trak sama seperti kami menghentikannya sekarang.

“Saya menggesa semua rakyat untuk datang ke pusat pemeriksaan dan hentikan bantuan kemanusiaan bersama. Ia tidak berperikemanusiaan kerana hanya melayan satu segmen penduduk di sana, tetapi tebusan di sana tidak menerima sebarang bantuan kemanusiaan,” kata Danny Elgart waris kepada tebusan Israel di Gaza, Itzik Elgart.

Bantuan kemanusiaan yang dihantar ke Gaza adalah daripada luar negara dan dibawa melalui Israel, pihak yang menutup sempadan ke Semenanjung Gaza pada 7 Oktober.

Gaza disambungkan ke Israel melalui Sempadan Erez bagi laluan individu dan Sempadan Karm Abu Salem bagi barangan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button