Berita Utama

Pelajar positif dadah: Sekolah, PPD, JPN perlu ambil tindakan tegas

Undang-undang juvana perlu dikaji dan diperketatkan lagi

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 25 Muharram 1442H, Ahad – Pihak sekolah perlu mengambil tindakan tegas ke atas para pelajar yang terbabit dalam gejala negatif termasuk penyalahgunaan dadah.

Guru di salah sebuah sekolah di utara tanah air, yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul berkata, perkara sama itu juga perlu mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Bagaimanapun, perkara ini tidak harus membabitkan sebarang campur tangan parti politik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media bahawa sebanyak 177 pelajar sekolah menengah di Johor dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, jumlah itu dikesan hasil ujian saringan yang dijalankan terhadap 10,132 pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dari 280 buah sekolah seluruh negeri oleh AADK sejak awal tahun ini.

Bimbang dengan situasi itu, Khairul menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang berkaitan kes juvana juga perlu dikaji dan diperketatkan.

Beliau berkata, kes juvana membabitkan pelajar di bawah umur termasuk jenayah rogol, bunuh dan penyalahgunaan dadah.

Selain itu katanya, majoriti golongan ibu bapa yang kini sibuk bekerja kurang meluangkan masa bersama anak-anak.

Jadi, beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya perkara itu menjadi salah satu faktor utama anak-anak terdedah dengan perkara tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah.

“Anak-anak bebas berkawan dan di usia remaja inilah, anak-anak akan cuba mengetahui dan belajar sesuatu.

“Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah pengedar dadah itu yang paling sukar hendak ditangkap,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button