Berita Utama

PRN Sabah gagal tonjol kesepakatan PN, Muafakat Nasional

PAS terpaksa jadi tukang pukul gendang demi tagih kerusi PRU15

BANGI, 25 Muharram 1442H, Ahad – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sepatutnya lebih menggambarkan kesepakatan di antara Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional.

Namun, sebaliknya berlaku apabila sifat tamak dan mahu kembali berkuasa lebih ditonjolkan sehingga semangat Muafakat Nasional gagal digambarkan kepada masyarakat, kata Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim.

Paling ketara, tindakan UMNO tidak memberikan laluan kepada PAS meletakkan calon dalam PRN Sabah, menampakkan parti Melayu itu tidak mempedulikan semangat Muafakat Nasional.

“Sebelum ini telah berlaku beberapa PRK dan saya melihat kesepakatan antara UMNO dan PAS atas roh MN telah bermula dengan baik.

“Walaupun sebelum ini kesemua parti itu tidak diwakili oleh calon PAS tetapi sebab atau alasan yang diberikan oleh pimpinan masih boleh diterima, iaitu kawasan tersebut adalah milik BN biarlah BN bertanding,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Zamani berkata, UMNO Sabah seolah-olah tidak mengambil pengajaran di atas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan merasakan parti itu sudah boleh memimpin politik tanpa PAS.

“Ini sebenarnya penyakit pimpinan UMNO yang masih tidak berubah.

“PN pula adalah watak UMNO juga, ini kerana mereka hanya sekadar bertukar label sahaja. Siapa itu PN, mereka adalah UMNO,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan parti yang disertai Barisan Nasional (BN), PN dan Parti Bersatu Sabah akan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Muhyiddin berkata, nama gabungan itu digunakan secara rasmi selepas 26 September apabila berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Di sebalik permuafakatan dalam gabungan itu, akar umbi PAS meluahkan rasa kecewa apabila parti itu langsung tidak diberikan sebarang kerusi.

Mengulas perkara itu, Ustaz Zamani berkata, PAS tidak berani menyatakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan itu.

“PAS pula saya dapati sangat kecewa kerana mereka tertipu dengan rakan PN dan juga MN.

“Justeru, pendekatan mengalah dan sanggup menjadi tukang pukul gendang pada PRN Sabah adalah jalan selamat untuk menagih kerusi pada PRU15 nanti,” katanya.

PRN Sabah bermula dengan rasminya sebaik proses penamaan calon di seluruh negeri itu tamat semalam.

Seramai 447 calon diumumkan bertanding pada PRN Sabah kali ini, berbanding PRU14 lalu iaitu 252 calon sahaja.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button