Aspirasi Muafakat Nasional makin kabur sejak ‘MCA dijulang’
MCA, MIC dapat habuan walau tiada sumbangan dalam naratif Melayu-Islam
BANGI, 26 Muharram 1442H, Isnin – Aspirasi Muafakat Nasional yang didam-idamkan rakyat Melayu Islam sudah semakin kabur khususnya ketika parti perkauman MCA dijulang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, dulu Muafakat Nasional tiada rasa segan silu untuk bercakap mengenai hak Melayu, hak Islam dan identiti nasional.
“Inilah yang membuat rakyat sangat teruja dan mendukung gelombang ini. Tetapi maaf cakap, semua itu tinggal kenangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Haji Aminuddin berlata, pada mulanya, pergerakan dan persefahaman Muafakat Nasional adalah atas nama ‘Perpaduan Ummah’ – dapat disaksikan mereka bersatu-padu memperjuangkan isu-isu Melayu Islam dengan sangat lantang.
Ia termasuklah dalam isu sekolah vernakular, hak istimewa orang Melayu, Tanah Rizab Melayu, kedaulatan Islam dan sebagainya.
“Sewaktu itu, NGO-NGO Islam begitu aktif dilibatkan dalam perjuangan-perjuangan tersebut, termasuklah membantah ratifikasi ICERD, membantah ratifikasi Statut Rom, membantah pengiktirafan UEC dan sebagainya.
“Malah, parti-parti Melayu-Islam kecil seperti BERJASA dan IKATAN sering dilibatkan di atas pentas yang sama dalam siri-siri ceramah dan himpunan,” katanya.
Namun, beliau berkata, semua yang diidamkan orang Melayu Islam itu menjadi kabur apabila MCA dilibatkan sama bermula pada PRK Tanjung Piai.
“Dari situ, MCA yang sepatutnya sudah lama mati, mendapat hayatnya kembali.
“Dari situ, kemarahan orang Melayu terhadap MCA yang banyak kontroversi sebelum ini terutamanya ketika pernah satu ketika mereka menyatakan hasrat untuk keluar daripada Barisan Nasional ketika UMNO sedang tenat dahulu, sudah semakin kendur malah dilupakan.
“Malah, MIC juga sudah mula berani menuntut kerusi majoriti Melayu sebagai bekalan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” katanya.
Selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan pula, Haji Aminuddin menegaskan, MCA dan MIC mendapat pelbagai habuan walaupun tiada sedikit pun sumbangan dalam menguatkan naratif Melayu-Islam yang menjadi tunjang kepada penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan.
Katanya, semua itu hanya bagi membuktikan Muafakat Nasional tidak rasis, dan itu yang diratib hingga sekarang.
“Malah, sudah ada suara yang kuat untuk memasukkan MCA dan MIC sebagai komponen Muafakat Nasional secara rasmi daripada pimpinan Muafakat Nasional sendiri.
“Sudahlah apabila mereka tidak ada di dalam secara rasmi pun, banyak telah dikompromi. Kita tidak boleh bayangkan bagaimana apabila mereka dimasukkan secara rasmi,” katanya.
Justeru, Haji Aminuddin mengingatkan kepada pimpinan Muafakat Nasional iaitu UMNO dan PAS, supaya merenung kembali akan teras Piagam Muafakat Nasional, iaitu agenda ‘Penyatuan Ummah’ yang termaktub dalam perenggan pertama piagam tersebut.
“Hubungkan sekali dengan kronologi-kronologi peristiwa yang menjadi sebab kepada kewujudan Muafakat Nasional.
“Selamat menyambut ulang tahun setahun Muafakat Nasional, semoga kalian kembali ke landasan asal permuafakatan tersebut,” katanya.