Berita UtamaIstimewa

BERJASA sedia tanding kerusi ‘tradisi’ MCA

Terbuka bertanding di mana-mana kawasan selagi ada calon rakyat berwibawa

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Muharram 1442H, Isnin – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) bersedia untuk meletakkan calon di kerusi – yang kononnya tradisi – MCA dan MIC pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bahkan, BERJASA dengan prinsip Watan, Hikmah dan Wibawa juga terbuka untuk bertanding di mana-mana kawasan majoriti pengundi Melayu, kata Naib Presidennya, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.

“Selagi ada calon-calon rakyat yang berwibawa dan berintegriti yang mahu bertanding atas tiket BERJASA, selain pemimpin BERJASA sendiri, kita bersedia.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat calon berwibawa dan berintegriti, bukan sekadar calon yang mendapat restu ‘warlord’ parti yang mengamalkan politik wang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas saranan penganalisis politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah supaya BERJASA atau Bebas meletakkan calon di kawasan majoriti Bumiputera, sekiranya MCA bertanding.

Ridhuan Tee menerusi artikel di ruangan kolumnis Ismaweb.net hari ini berkata, sebanyak mana kerusi yang ditandingi MCA berdepan dengan DAP di kawasan majoriti Cina, sebanyak itu juga wakil parti Melayu atau Bebas turut bertanding.

“Ultra kiasu MCA mesti akan mempertahankan bermati-matian kerusi ‘tradisi’ kawasan majoriti Melayu, yang ditandingi selama ini, sekurang-kurangnya untuk memberikan kemenangan mudah kepada ultra kiasu DAP.

Itulah sahaja cara bagi meneruskan agenda bersama walaupun caranya berbeza MCA secara evolusi, manakala DAP secara revolusi,” dakwanya. 

Bersetuju dengan pandangan Prof Ridhuan Tee, Ustaz Mohd Hazizi berkata, BERJASA sudah biasa bertanding di kawasan MCA dan MIC.

“Namun, parti-parti Melayu lain dengan mudah tunduk kepada MCA dan MIC, setelah mereka menang kerusi dengan selesa.

“Sehubungan itu, BERJASA bukan sekadar bertanding di kawasan MCA, malah akan masuk ke kawasan-kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button