Dua rakyat Palestin terkorban akibat COVID-19
Sekatan Israel burukkan keadaan, bekalan ubat semakin kurang
GAZA, 26 Muharram 1442H, Isnin – Pihak berkuasa kesihatan Palestin mencatatkan dua kematian dan 100 jangkitan baharu COVID-19 di Semenanjung Gaza, semalam, lapor Anadolu Agency.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah kes jangkitan meningkat kepada 1,819 termasuk 15 kematian dan 216 lagi pulih.
“Jumlah kes aktif di Gaza meningkat menjadi 1,588,” kata kementerian itu.
Berada di bawah sekatan Israel yang melumpuhkan sejak 2007, Semenanjung Gaza turut mengalami masalah kekurangan ubat-ubatan, selain terputus bekalan elektrik hampir setiap hari.
Pemerintah pimpinan pergerakan Hamas melaksanakan perintah berkurung di Gaza pada 24 Ogos lalu untuk membantu mengekang wabak di wilayah yang disekat, walaupun pihak berkuasa baru-baru ini meredakan sekatan di beberapa kawasan di wilayah itu. – Agensi