Berita Utama

Kuasa rakyat Sabah ibarat bom jangka, pengundi bukan lagi alat parti politik

Manifesto yang dirangka tidak lagi jadi keutamaan dan kriteria pemilihan

KOTA KINABALU, 26 Muharram 1442H, Isnin – Pertandingan 11 penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, disifatkan unik dan menarik kerana menunjukkan siapa pun berhak muncul sebagai bakal Yang Berhormat.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Ismail Sualman berkata, terdapat 26 DUN yang bertanding enam penjuru dan hanya tiga DUN sahaja yang bertanding tiga penjuru.

Meskipun begitu, beliau berkata, kuasa rakyat Sabah ibarat bom jangka atau api dalam sekam yang meledak pada masa yang tepat dan sesuai.

“Pengundi bukan lagi alat yang digunakan oleh mana-mana parti politik untuk mendapatkan sokongan semata-mata.

“Rasional atau emosi pengundi diterjemahkan di atas kertas undi untuk membuktikan kuasa rakyat mengatasi kuasa pemimpin dan parti politik.

“Rakyat tahu apa yang diingini dan rakyat berhak menentukan masa depan negara ini,” katanya dalam satu artikel disiarkan di Sinar Online, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walau apa agenda dan manifesto yang dirangka oleh mana-mana parti politik bukan lagi menjadi keutamaan dan kriteria pemilihan masa kini. 

“Isyarat yang diberikan pengundi adalah rakyat menjadi penentu siapa atau parti mana yang layak memerintah.

“Beberapa ramalan dan hasil kajian akademik sebelum ini juga jauh meleset. Apa sebenarnya yang berlaku? Walaupun data-data awal menunjukkan kemungkinan seseorang calon boleh memenangi pilihan raya, namun pada saat-saat akhir, beberapa faktor telah mengubah sokongan. 

“Semuanya ditentukan oleh tangan pengundi. Gelombang tsunami rakyat ini melanda tanpa diduga. Jangkaan di atas kertas tidak melambangkan realiti sebenar. Kebenaran ada di tangan pengundi yang telah menjadi hakim muktamad dalam pentas demokrasi,” katanya lagi.

Di samping itu, faktor pengundi muda dan belia bawah usia 35 tahun mungkin juga menjadi ledakan perubahan ini. 

Malah, katanya, penggunaan media sosial mempengaruhi mereka mengenai isu nasional dan setempat yang boleh diperoleh di hujung jari.

“Pengundi masa kini telah menunjukkan kematangannya dan terdedah dengan pelbagai sumber. Sumber maklumat bukan lagi merujuk pemimpin setempat. Pengundi muda menjadikan media sosial sebagai pentas demokrasi yang rencam sifatnya,” katanya.

Beliau berkata, keputusan yang akan ditentukan oleh pengundi di Sabah nanti dianggap manifestasi dan harapan rakyat.

“Semuanya banyak pengajaran dan iktibar buat pendukung demokrasi. Kita tidak sabar-sabar untuk menanti perubahan dan penambahbaikan yang akan dilakukan oleh kerajaan yang akan dibentuk kelak.

“Apa pun, kita perlu berlapang dada berhadapan dengan PRN Sabah ini. Diharap dengan kemelut politik dapat ditentukan dengan mandat baharu oleh rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button