Berita Utama

Segera tubuh RCI siasat pendedahan Kertas Pandora: MPM

Tidak boleh dibiar berleluasa demi jaga maruah negara

BANGI, 5 Rabiulawal 1443H, Selasa – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi meneliti isu pendedahan dalam ‘Kertas Pandora’ berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara membabitkan beberapa individu berpengaruh.

Pengerusi Biro Politik MPM, Shahbudin Embun berkata, penubuhan jawatankuasa khas serta RCI tersebut dijangka memberikan pencerahan kepada segala kekeliruan di kalangan rakyat hasil daripada pendedahan tersebut.

Ia juga dapat mengembalikan imej kerajaan yang boleh tercalar atas perbuatan salah laku serta penghantaran atau simpanan duit haram, duit rasuah dan lain-lain, tegasnya.

“Kerajaan hendaklah segera mewujudkan jawatankuasa khas siasatan dan RCI bagi meyakinkan rakyat bahawa perkara seperti ini tidak dibiarkan berleluasa demi menjaga maruah negara dan kepentingan rakyat.

“Pihak berkuasa without ‘fear or favour’ hendaklah menyiasat perbuatan salah laku undang undang negara yang serius ke atas sesiapa saja yang terlibat.

“…waima mereka adalah menteri, bekas menteri, VVIP atau sesiapa saja yang telah dinama kan dalam Pandora Papers tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya berlaku kesalahan, maka pendakwaan hendaklah dilakukan secara adil dan mengikut undang undang negara.

“Kami dengan penuh takzim dan hormat memberikan kepercayaan penuh kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar dapat melaksanakan perkara-perkara yang kami sebut demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Pada 4 Oktober, Anwar mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang.

Usul itu ditolak Speaker Datuk Azhar Azizan Harun pada sidang Parlimen 6 Oktober dengan alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan tersebut mengetepikan urusan yang ditetapkan aturan mesyuarat.

Semalam, Dewan Rakyat sekali lagi kekal dengan keputusan menolak usul untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora berkenaan.

Siasatan yang disebut ‘Kertas Pandora’- melibatkan sekitar 600 wartawan dari media termasuk The Washington Post, BBC, dan The Guardian – didasarkan daripada kebocoran sekitar 11.9 juta dokumen dari 14 syarikat perkhidmatan kewangan di seluruh dunia.

Beberapa individu dari Malaysia yang terkenal juga telah dikaitkan dengan akaun luar pesisir itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button