Berita Utama

PRN Sabah untuk rakyat atau ahli politik?

Bertanding untuk atasi masalah kemiskinan atau kepentingan diri

KOTA KINABALU, 26 Muharram 1442H, Isnin – Fenomena penyertaan begitu ramai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan, dilihat secara positif sebagai bukti sihatnya amalan demokrasi di Malaysia.

Namun, kata pemerhati politik, Lukman Al Hakim Muhammad, rakyat perlu melihat isu ini daripada satu aspek lain – berkaitan kemaslahatan kepada seluruh rakyat Sabah.

“Apakah hasil akhir yang kita harapkan daripada PRN sebenarnya? Apa makna jika PRN diadakan kerap dengan ramai calon menampilkan diri, namun kebajikan rakyat masih menjadi agenda kedua? 

“Adakah PRN untuk rakyat atau untuk ahli politik?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyenaraikan statistik kemiskinan di Sabah sebagai salah satu indikator utama kebajikan rakyat. 

Katanya, Sabah adalah negeri ketiga tertinggi di Malaysia dengan bilangan rakyat miskin iaitu sebanyak 73,754 orang selepas Kelantan dan Sarawak.

Pada tahun 2016, peratusan kemiskinan di Sabah dicatatkan pada paras 2.9 peratus manakala bilangan rakyat miskin tegar pula mencecah 93,119 orang, kata Lukman.

“Malah ada sebahagian kajian dan statistik yang ‘menobatkan’ Sabah sebagai negeri termiskin di Malaysia. Amat ironik bukan?,” katanya.

Justeru, beliau mengajukan persoalan kepada semua parti dan calon persendirian berkenaan tujuan sebenar mereka bertanding.

“Apakah agenda mereka semua untuk mengatasi kemiskinan yang amat kritikal di Sabah? Atau mereka hanya bertanding untuk kemahsyuran dan kepentingan diri sendiri?

“Silap-silap majoriti calon yang bertanding tak tahu pun statistik yang saya sebutkan di atas!,” katanya.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 447 orang calon akan merebut 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

SPR menyifatkan PRN tersebut paling mencabar untuk dikendalikan berikutan pertambahan 13 lagi kerusi dan penyertaan ramai calon.

Selain penyertaan calon mewakili parti politik, PRN Sabah kali ini menyaksikan seramai 56 calon Bebas masuk bertanding.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button