Berita UtamaDunia

Tentera Israel kerah anjing serang tahanan Palestin

Guna semburan lada hingga sebabkan mereka cedera, sukar bernafas

TEBING BARAT, 26 Muharram 1442H, Isnin – Puluhan tahanan Palestin mengalami kecederaan setelah pasukan tentera pengganas Israel menyerbu sel di sebuah penjara di bahagian tengah Tebing Barat yang diduduki.

Persatuan Tawanan Palestin (PPS) dalam satu kenyataan memberitahu, komando Israel disertai oleh sekumpulan anjing menyerang tahanan Palestin di Penjara Ofer, yang terletak di sebelah barat Ramallah, semalam.

PPS memaklumkan, pasukan Israel melepaskan anjing-anjing itu dan menyerang tahanan secara fizikal, selain menggunakan semburan lada sehingga menyebabkan sejumlah daripada mereka cedera, dengan beberapa lagi mengalami kesukaran bernafas.

Puluhan tahanan Palestin juga dipindahkan secara paksa ke bahagian lain di penjara oleh tentera Israel.

Penduduk tempatan menegaskan, ini adalah kejadian ketiga di Penjara Ofer sejak tahanan politik Palestin, Daoud al-Khatib meninggal dunia kerana serangan jantung pada 3 September akibat kecuaian perubatan yang disengajakan oleh pihak berkuasa penjara Israel.

Sekurang-kurangnya 26 tahanan Palestin cedera dalam serangan ganas di sel mereka beberapa hari selepas seorang tahanan Palestin mati di penjara Israel, lapor media tempatan.

Terdahulu pada 6 September, PPS melaporkan bahawa pengawal Israel telah menyerang sel penjara dengan keras, merampas semua alat elektronik dan barang peribadi tahanan.

Lebih daripada 7,000 tahanan Palestin kini ditahan di 17 penjara Israel, dengan puluhan di antaranya menjalani hukuman seumur hidup. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button