Berita Utama

Anwar kelirukan Dewan Rakyat mengaku tak pernah mohon pengampunan

Pendedahan bercanggah fakta dalam Perintah Pengampunan

BANGI,26 Jamadilawal 1444H, Rabu – Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasruddin menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar yang tidak pernah memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai kenyataan mengelirukan dan menghina Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat Perdana Menteri itu dilihat bercanggah dengan fakta di dalam Perintah Pengampunan yang g Diraja.

“Di dalam Perintah Pengampunan tersebut yang dimeterai di-Raja dan ditandatangani oleh Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah merekodkan Anwar telah memohon untuk pengampunan sebanyak dua kali.

“Kenyataan ini secara terang bercanggah dengan Perintah Pengampunan Penuh bertarikh 16 Mei 2018 yang telah ditandatangani oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu sebenarnya pernah membuat permohonan pengampunan sebanyak dua kali iaitu pada 16 Mac 2015 dan kali kedua pada 27 Februari 2017.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua permohonan tersebut ditolak oleh Lembaga Pengampunan.

Baginya, kenyataan Anwar yang bercanggah itu merupakan perkara yang serius dan melibatkan kepentingan awam dan negara.

“Tambahan, Anwar memberi penekanan hal berkenaan di Dewan Rakyat dan menyatakan tidak pernah memohon untuk pengampunan, direkodkan dalam Hansard.

“Ia adalah tindakan yang sengaja dan berkira,” katanya.

Terdahulu, peguam Mohd Rafique Rashid Ali menyanggah kenyataan Perdana Menteri dan mendedahkan Presiden PKR itu tidak bercakap benar kerana pernah memohon pengampunan.

Kenyataan Anwar di Dewan Rakyat itu dibuat selepas ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menggesa Anwar menyaman media antarabangsa yang mengeluarkan laporan berita tidak tepat hingga boleh mencemarkan imej negara.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/12/19/pm-perlu-saman-media-antarabangsa-demi-imej-negara/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button