Berita UtamaDunia

Indonesia gesa negara serantau tangani krisis Rohingya

Dalam tempoh dua bulan 400 bot bawa pelarian Rohingya masuk Indonesia

JAKARTA, 27 Muharram 1442H, Selasa – Peningkatan jumlah pelarian etnik Rohingya yang tiba di pantai Indonesia kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan penduduk di republik itu.

Tambahan pula, Indonesia juga masih bertungkus lumus memerangi wabak COVID-19.

Menteri Luarnya, Retno Marsudi menggesa negara serantau bekerjasama untuk menangani krisis yang membabitkan etnik Rohingya.

Beliau mendakwa, dalam tempoh dua bulan lalu, Indonesia menerima kira-kira 400 bot membawa etnik Rohingya.

Tegasnya, penghantaran pulang etnik berkenaan di negara asal mereka di Myanmar harus dilaksanakan segera.

“Kerajaan Myanmar perlu menangani isu ini dan saya menggesa tindakan segera dilakukan secara selamat, sukarela dan lestari bagi menghantar mereka pulang ke Rakhine.

“Kami juga menggesa perkongsian tanggungjawab terutama dalam kalangan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Serantau ASEAN (ARF), apabila membangkitkan kes di mana nelayan Indonesia menyelamatkan 395 etnik Rohingya di perairan Aceh pada 24 Jun lalu.

Krisis pelarian adalah antara beberapa perkara dibincangkan ketika ARF secara maya yang berakhir baru-baru ini, dengan Vietnam selaku tuan rumah, selain isu ketegangan di Laut China Selatan dan Semenanjung Korea.

Pada masa sama, Retno menegaskan bahawa, tindakan negara itu menyelamatkan pelarian itu adalah atas dasar kemanusiaan, sleain mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Berdasarkan maklumat awal, mereka datang dari kem di Cox’s Bazar, Bangladesh dengan 119 daripada 296 orang mendakwa sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Kumpulan kedua seramai 296 etnik Rohingya tiba pada 7 September lalu dengan 191 daripadanya adalah wanita, kebanyakan mereka berusia di bawah 18 tahun dan mendakwa destinasi asal mereka ialah Malaysia.

“Namun, pelarian terbabit terkandas di tengah laut selama tujuh bulan akibat ribut dan negara lain enggan menerima kehadiran mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menerima laporan terdapat pelarian yang meninggal dunia selepas diselamatkan.

Beliau tidak menyangkal kemungkinan kematian itu akibat keletihan selain masalah kesihatan kerana berada terlalu lama di tengah laut dan bukannya disebabkan COVID-19.

Retno juga mempunyai pendapat sama dengan rakan sejawat dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mahu negara serantau turut bertanggungjawab dalam isu Rohingya, tanpa hanya bergantung kepada Malaysia dan Indonesia.

Kira-kira 177,920 pelarian dan pemohon suaka politik berdaftar dengan UNHCR Malaysia termasuk 153,190 dari Myanmar merangkumi 101,320 etnik Rohingya, 22,510 etnik China dan 29,350 individu pelbagai kumpulan etnik lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button