Berita Utama

Kes SRC: Kawalan ketat polis di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

Kira-kira 1,000 penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak beri sokongan

KUALA LUMPUR, 7 Zulhijjah 1441H, Selasa – Polis memperketatkan kawalan di sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur termasuk dua laluan masuk utama bangunan itu berikutan Mahkamah Tinggi dijadual mengumumkan keputusan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa anggota polis ditempatkan di sekitar kawasan kompleks itu bagi mengawal aliran trafik dan situasi semasa.

Polis dilihat menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan orang ramai yang hadir di luar kawasan pagar mahkamah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Kira-kira 1,000 orang penyokong bekas perdana menteri itu yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkumpul di pekarangan kompleks mahkamah, di sini, sejak jam 5.45 pagi ini.

Difahamkan sebanyak 20 buah bas digunakan bagi membawa penyokong Najib termasuk dari Pekan dan Chini.

Beberapa pengamal media yang mempunyai pas khas dibenarkan masuk tetapi jumlah wartawan dan jurufoto membuat liputan dihadkan selari dengan SOP COVID-19.

Sehingga 10.30 pagi, keadaan dilihat masih terkawal tanpa sebarang kekecohan dan kejadian tidak diingini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button