Artikel KhasBerita Utama

Martabatkan bahasa Melayu

Bahasa Melayu keenam paling banyak digunakan di seluruh dunia

1. PADA zaman kemuncak Bahasa Melayu iaitu pada abad ke-14, ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, ia dijadikan lingua franca (bahasa pengantara) di Kepulauan Melayu, tidak kira dituturkan oleh penduduk tempatan mahupun saudagar dan seniman yang mengunjungi Melaka melalui Selat Melaka.

2. Malah, Francois Valentijn yang merupakan seorang sarjana Belanda menyifatkan Bahasa Melayu pada abad ke-16 telah menyamai taraf dan peranan bahasa Latin dan bahasa Perancis di benua Eropah dan menjadi bahasa perhubungan antarabangsa.

3. Selepas 4 abad, hari ini kita melihat Bahasa Melayu diperkosa dan dibunuh oleh bangsa Melayu sendiri.

Identitinya sebagai bahasa yang dilindungi Perlembagaan negara dipandang sepi, penguatkuasaan penggunaannya dalam sistem pendidikan (terutama sekolah vernakular) diletak tepi serta ketinggian nilainya dicemari bahasa penjajah yang dicampur sehingga sebati.

4. Walaupun kita mempunyai Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, namun tiada sebarang implikasi perundangan diperuntukkan terhadap pihak yang melanggar akta ini.

Selain itu, akta ini juga dilihat agak longgar dan memberi keanjalan Bahasa Inggeris untuk digunakan dalam Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan keizinan Yang Dipertua Dewan.

5. Bahasa penjajah ini turut diberikan ruang untuk terus digunakan dalam perbicaraan mahkamah atas pengecualian tertentu.

Malangnya, keringanan ini sering disalahguna terutama oleh para peguam yang kurang fasih berbahasa Melayu.

6. Terkini, bahasa Melayu berada di tempat keenam dunia sebagai bahasa yang paling banyak dituturkan  (281 juta) selepas Bahasa Mandarin, Inggeris, Hindustani, Sepanyol dan Arab.

7. Dengan pertumbuhan bangsa Melayu yang tinggi dan perkembangan ketamadunan yang semakin pesat, dijangkakan Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa keempat paling banyak dituturkan di dunia dan bahasa terbesar di Asia Tenggara pada tahun 2030.

8. Tidak mustahil, bahasa yang mudah dipelajari dan dikuasai ini juga mampu menjadi bahasa perantaraan ilmu serta teknologi dunia suatu hari nanti jika kita berbangga dan memeliharanya dengan penuh kesungguhan dan kekuatan!

Ir. Ts. Lukman Al Hakim

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close