Berita Utama

Undang-undang Islam tak pecah belah masyarakat majmuk

Hukuman dalam Islam untuk mendidik bukan menghukum semata-mata

KUALA LUMPUR, 27 Muharram 1442H, Selasa  – Dakwaan menyatakan undang-undang Islam boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini adalah tidak berasas sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata, jika rakyat pelbagai kaum dan agama dapat memahami serta menghayati Perlembagaan Persekutuan serta sistem perundangan Islam di Malaysia, kerajaan yakin perundangan Islam bukanlah suatu isu yang sensitif.

“Undang-undang Islam itu sendiri, sifatnya inklusif dan progresif yang sesuai dengan peredaran masa.

“Ini kerana prinsip-prinsipnya bersifat menyantuni semua kaum dan golongan masyarakat sama ada orang Islam dan orang bukan Islam,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara di sini,  hari ini.

Hukuman dalam Islam juga, katanya, bersifat mendidik, bukan untuk menghukum semata-mata, justeru, adalah tidak berasas sama sekali dakwaan bahawa undang-undang Islam boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk.

Sementara itu, Zulkifli  mengakui berlaku ketidakharmonian serta pertindihan antara dua sistem perundangan yang diamalkan oleh negara iaitu perundangan sivil dan syariah.

Beliau berkata, sehubungan itu, kerajaan sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengharmonikan perundangan sivil dan syariah tanpa prejudis.

Zulkifli berkata, namun perkara yang paling utama adalah kedua-dua sistem perundangan ini bertujuan untuk mencari, memberi dan mencapai keadilan.

“Apabila matlamat ini jelas, maka usaha untuk mengharmonikan kedua-dua sistem perundangan ini akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata, antara usaha yang sedang giat dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam usaha memperkasakan mahkamah syariah termasuklah cadangan peningkatan peringkat mahkamah syariah, pindaan undang-undang substantif dan undang-undang prosedur. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close