Berita UtamaDunia

Yaman perlu dana

Krisis kemanusian makin teruk, jutaan rakyat kebuluran

SANA’A, 27 Muharram 1442H, Selasa – Puluhan ribu keluarga di Yaman tidak lagi menerima bantuan kemanusiaan berikutan kekurangan dana.

Perang di Yaman mengakibatkan hampir 80 peratus penduduknya memerlukan bantuan, bahkan dilaporkan jutaan rakyat negara itu kini kebuluran.

Human Rights Watch (HRW) dalam satu kenyataan menggesa pihak yang bertanggungjawab untuk tidak lagi campur tangan termasuk menghalang operasi bantuan kemanusiaan di Yaman.

Perkhidmatan kesihatan, sanitasi dan pemakanan yang menjaga berjuta-juta penduduk dari penyakit dan kebuluran telah beransur-ansur ditutup, disebabkan kekurangan dana yang kritikal.

Halangan bantuan dan derma adalah punca utama negara itu kekurangan dana.

Sebelum ini, pemimpin Arab Saudi tidak membenarkan bekalan ubat-ubatan dibawa masuk ke negara itu, sekali gus menjadikan keadaan pesakit, terutama mereka yang bergelut dengan barah dan tumor menjadi lebih teruk.

Hospital di Yaman terpaksa menghentikan operasi mereka berikutan kekurangan minyak, selain menyatakan bahawa penjana oksigen perubatan hanya berfungsi sebanyak 50 peratus.

Pada bulan Jun, organisasi kemanusiaan antarabangsa hanya menjanjikan sebanyak AS$1.35 bilion berbanding AS$2.41 bilion yang diperlukan untuk aktiviti kemanusiaan pada 2020, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perang yang dilancarkan oleh gabungan tentera pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman sejak Mac 2015 telah menyebabkan negara itu mengalami krisis kemanusiaan terburuk di dunia. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close