Arab Saudi bakal ikut jejak UAE, Bahrain: Trump
Dakwa 8 atau 9 negara akan jalin hubungan dengan Israel
WASHINGTON, 28 Muharram 1442H, Rabu – Selepas Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Donald Trump yakin Arab Saudi menjadi negara Arab seterusnya yang akan mengikut jejak langkah menandatangani perjanjian menormalkan hubungan dengan rejim pengganas Israel.
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mendakwa, bahawa kerajaan Riyadh adalah antara beberapa negara yang beliau percaya sedang membuka hubungan diplomatik dengan Tel Aviv, setelah bercakap mengenai perkara berkenaan dengan Raja Salman Abdulaziz.
“Kita ada banyak negara lain yang akan bergabung dengan kami, dan mereka akan segera bergabung dengan kami,” kata Trump selepas beberapa jam Bahrain dan UAE secara rasmi menandatangani dokumen menormalkan hubungan dengan Israel.
Trump turut meningkatkan jumlah negara yang didakwanya hampir mengikut jejak dua negara Teluk Arab, yang pada awalnya hanya lima atau enam sahaja.
“Kita akan mempunyai tujuh atau lapan atau sembilan. Kita jangka banyak negara lain yang bergabung dengan kita, termasuk negara-negara besar,” katanya.
Dalam majlis tandatangan semalam, Trump mendakwa perjanjian itu akan mengakhiri dekad perpecahan dan konflik di rantau berkenaan, selain kononnya membawa sinar kepada ‘Timur Tengah yang baharu’.
“Terima kasih atas keberanian pemimpin tiga negara ini, kami mengambil langkah besar menuju masa depan di mana semua orang tanpa mengira agama dan latar belakang hidup bersama dalam kedamaian dan kesejahteraan,” dakwa Presiden negara pembuli itu.
Bahrain menjadi negara Arab keempat yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada Jumaat lalu, setelah Mesir pada 1979, Jordan pada tahun 1994 dan UAE pada Ogos lalu. – Agensi