Berita Utama

Dangkal label sekolah kebangsaan terlalu Islamik

‘63 tahun merdeka patutnya perkasa sekolah kebangsaan’

BANGI, 28 Muharram 1442H, Rabu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyangkal dakwaan aktivis yang menyifatkan sekolah kebangsaan tidak fokus kepada pendidikan, sebaliknya terlalu Islamik sehingga mengabaikan mata pelajaran Sains dan Teknologi

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan yang kesal dengan perkara itu berkata, kenyataan berkenaan bukan sahaja bersifat prejudis, malah tidak mencerminkan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta dangkal.

“Kewujudan sekolah kebangsaan ialah menjunjung matlamat Penyata Razak 1956 dan memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang daripada aspek JERI (jasmani, emosi, rohani, intelek), “ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tiga aktivis menyifatkan sekolah kebangsaan sebagai tidak fokus kepada pendidikan sebaliknya terlalu Islamik sehingga mengabaikan pengetahuan dalam mata pelajaran Sains dan Teknologi.

Kenyataan itu dibuat menerusi sesi debat bertajuk Suara Gerak Independent: The Vernacular School Debate anjuran Maju Foundation yang diasaskan peguam dan aktivis, Siti Kasim.

Dalam debat itu, Arun Doraisamy, Phun Teck Seng dan Sam Saad berpandangan sama dan menyimpulkan bahawa sekolah kebangsaan sangat menekankan aspek keagamaan berbanding sekolah vernakular, yang menekankan bahasa ibunda, perpaduan dan pengetahuan.

Menempelak perkara itu, Ustaz Mohd Azizie berkata, aktiviti keagamaan yang dilaksanakan di sekolah kebangsaan seperti bacaan doa dan majlis sambutan kebesaran Islam bertujuan membina kerohanian murid sebagai asas pembinaan jati diri.

Beliau turut menafikan bahawa terdapatnya pengabaian subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Jelasnya, hal ini kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mempersiapkan segala perancangan pendidikan bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0

“Kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta yang betul kerana masih ada lagi ibu bapa bukan Islam yang menghantar anak di sekolah kebangsaan, bahkan SBP (sekolah berasrama penuh) masih menempatkan murid bukan Melayu.

“63 tahun merdeka tidak seharusnya menjadikan semua pihak memandang rendah terhadap sekolah kebangsaan, sebaliknya berusaha memperkasa dan memartabatkan sekolah kebangsaan,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close