Berita UtamaDunia

Guna buruh Uyghur, H&M putus hubungan dengan pengeluar benang China

Nafi dakwaan punya hubungan dengan kilang di Anhui, Huafu di Xinjiang

STOCKHOLM, 28 Muharram 1442H, Rabu – Syarikat gergasi pakaian Hennes & Mauritz (H&M) mengakhiri hubungan dengan pengeluar benang China, berikutan pembabitan buruh paksa etnik minoriti Uyghur di wilayah Xinjiang.

Jenama fesyen antarabangsa itu juga tidak lagi memerlukan khidmat kilang pakaian di rantau itu, selain berhenti mendapatkan bekalan kapas di Xinjiang – yang juga kawasan penanaman tumbuhan terbesar di negara tembok besar itu.

Kumpulan pemikir Institut Dasar Strategik Australia (ASPI) pada Mac lalu melaporkan, H&M adalah salah satu syarikat yang menerima khidmat buruh paksa melalui hubungan dengan kilang pengeluar benang celup Huafu di Anhui.

Bagaimanapun, H&M menafikan dakwaan mempunyai hubungan dengan kilang di Anhui atau opearasi Huafu di Xinjiang.

H&M sebaliknya mengakui mempunyai hubungan perniagaan secara tidak langsung dengan sebuah kilang di Shangyu di provinsi Zhejiang, milik Huafu Fashion.

Syarikat itu juga mendakwa, telah melakukan siasatan di semua kilang pembuatan pakaian di China bagi memastikan mereka tidak menggunakan khidmat buruh paksa.

Sebelum ini kumpulan hak asasi antarabangsa melaporkan lebih sejuta etnik Uyghur menderita di kem tahanan akibat kekerasan oleh rejim China yang melakukan pelbagai kekejaman, termasuk mengharamkan tahanan mengamalkan agama Islam, memaksa pengguguran janin selain mendera mental dan fizikal.

China bagaimanapun menafikan kekejaman mereka dan menganggap kritikan yang diterima bermotifkan politik dan berunsur penipuan.

Isnin lalu, pihak kastam Amerika Syarikat (AS) berkata, ia akan mengharamkan beberapa produk China termasuk kapas, pakaian dan produk rambut dari Xinjiang, berikutan bimbang akan penggunaan khidmat buruh paksa.

China pada Selasa mengecam tindakan AS dan menyifatkannya sebagai satu penindasan serta mendakwa kononnya berita khidmat buruh paksa adalah palsu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close