Berita Utama

Ke arah Malaysia yang merdeka

Umat Islam perlu dididik setia kepada agama, umat buang maslahat peribadi

1. 16 September, lagi sekali kita akan menyambut Hari Malaysia buat kesekian kalinya. Jalur Gemilang akan berkibar, ucapan-ucapan perpaduan sesama warganegara akan kedengaran, pencapaian negara sepanjang tempoh ini akan dipertontonkan dan satu Malaysia bercuti menghormati dan memperingati tarikh keramat itu.

2. 16 September 1963 rasmilah gabungan Tanah Melayu, Singapura, Brunei Utara dan Sarawak membentuk satu negara yang dinamakan kemudiannya Malaysia (Singapura keluar kemudiannya).

3. Negara ini merdeka dan terbina di era barunya dengan membawa bersama warisan yang dipahat oleh sejarah yang panjang iaitu; Islam, Melayu dan institusi raja.

Perjuangan mengekalkan tiga warisan itu akan menjadi beban perjuangan kepada generasi hari ini kerana usaha untuk merubah imej dan falsafah negara sentiasa wujud tanpa henti.

4. Persoalannya; setahap manakah ketahanan kita sama ada di peringkat pimpinan atau rakyat untuk terus mampu mempertahankannya?

Perang Dunia 1 dan 2 meranapkan institusi khilafah Islam sepenuhnya. Dunia muncul dengan rujukan baru yang mengikat semua termasuk negara kita. Rujukan baru dunia yang PBB menjadi simbol penguasanya tidak ‘mesra’ dengan tiga unsur teras negara kita. Asakan akan sentiasa berlaku sama ada melalui ancaman atau pujukan. Dalam negara ada proksi luar yang memainkan peranan menekan dan merayu bagi pihak luar.

5. Suasana politik yang tidak menentu memburukkan lagi suasana. Kelemahan suasana politik memberikan ruang selesa untuk mereka mengasak dan terus mengasak.

Pencerobohan tanah, pengukuhan sekolah vernakular, bidang kuasa penguasa tempatan yang dikekang, bayangan tuntutan agihan kerusi PRU-15 nanti, pendatang asing datang tak pulang …. dan banyak lagi yang lain adalah langkah-langkah tersusun mereka yang akan meruntuhkan tiga unsur ini; Islam, Melayu dan institusi raja.

Mereka suka negara tanpa Perlembagaan dan tanpa undang-undang.

6. Umat Islam perlu disedarkan tentang sejarah negara dengan naratif yang betul. Lupa sejarah, umat akan menerima apa juga format negara yang disuapkan kepada mereka. Faham sejarah, umat akan faham apa yang perlu dibina.

Umat Islam perlu dididik agar setia kepada agama dan umat. Buangkan maslahat peribadi dari kamus hidup mereka. Kecilkan habuan dunia di pandangan mata mereka.

Umat Islam perlu diajar berkorban. Apa juga perjuangan tidak akan tercapai tanpa pengorbanan. Umat perlu bersedia berkorban masa, harta, tenaga … juga mungkin berkorban masa depan bahkan mungkin juga nyawa.

Umat Islam perlu diasuh dari kecil agar memiliki kemahiran tahap tinggi dalam apa juga bidang. Kuasai teknologi, kuasai ekonomi, kuasai budaya, kuasai bidang pemikiran, kuasai laut, kuasai udara …. kuasai apa sahaja.

7. Persoalan yang jika ditanya kepada kita; mampukah kita? Maka jawablah; kita lebih dari mampu kerana kita adalah keturunan dari moyang kita yang menjadi penguasa agong di daerah ini.

Selamat Hari Malaysia buat semua. Moga Allah berkati dan tunjuki kita ke arah redhaNya.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close