Berita Utama

Malaysia umum gelembung laluan udara Singapura tak lama lagi

Antara perkara dibincang bersama Pesuruhjaya Tinggi Singapura

KUALA LUMPUR, 28 Muharram 1442H, Rabu – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berharap Malaysia dapat mengumumkan gelembung lalu lintas udara dengan Singapura dan rakan hubungan bilateral lain, tidak lama lagi.

Perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon di pejabat menterinya.

“Kami membincangkan pelbagai isu yang memerlukan perhatian kedua-dua negara bagi membolehkan kedua-dua negara meneruskan pertukaran rakyat secepat mungkin, walaupun bimbang dengan masalah pandemik yang masih berterusan.

“Komuniti perniagaan yang berkait rapat di kedua-dua belah pihak perlu segera berulang-alik dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya.

Wee berkata pihak berkuasa kesihatan Malaysia akan membuat pengumuman tidak lama lagi mengenai perjanjian SOP berkenaan.

Mesyuarat itu juga turut mengemas kini perbincangan yang sedang berlangsung untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Malaysia-Singapura (HSR 2.0), kerana kedua-dua pihak semakin menghampiri tarikh 31 Dis sebagai tarikh akhir untuk menandatangani perjanjian dua hala itu.

Wee berkata kejayaan menandatangani perjanjian Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru-Woodlands pada 30 Julai lepas mencerminkan komitmen bersama.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button