Berita Utama

PRU15: Akar umbi parti Melayu perlu berani tolak pemimpin pengecut

Kawasan majoriti Melayu harus ditandingi bangsa itu, bukannya MCA

BANGI, 28 Muharram 1442H, Rabu – Ahli akar umbi parti Melayu perlu berani menolak pemimpin tertinggi yang lemah dan pengecut melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris berkata, sekiranya tiada jalan bagi menyedarkan pemimpin terbabit, maka ahli akar umbi dan masyarakat Melayu perlu bertukar angin.

“Iaitu dengan memilih parti Melayu yang lebih bersungguh dalam memperjuangkan matlamat agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan pendakwah bebas Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah supaya kerusi majoriti Bumiputera, terutamanya orang Melayu mesti ditandingi oleh Bumiputera dan tidak lagi boleh diserahkan kepada MCA.

Mengulas lanjut, Haji Rashidi berkata, kawasan yang majoritinya bangsa Melayu perlu diturunkan kepada calon-calon dari bangsa sama tidak kira mana-mana parti.

Turut menyifatkan cadangan itu sebagai paling adil dan terbaik, beliau berkata, orang Melayu berhak menentukan pemimpin pilihan dalam kalangan bangsa itu.

Pada masa sama, beliau berkata, sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada November tahun lalu, Barisan Nasional (BN) sengaja meletakkan calon MCA dengan alasan strategik untuk menukar minda orang bukan Melayu bahawa orang Melayu masih bersikap berlapang dada.

“Ternyata strategi itu memakan diri sendiri. Parti bukan Melayu yang tidak ada tempat dalam BN mulai mendapat habuan yang tidak sepatutnya.

“Bayangkan MCA hanya ada dua kerusi tetapi berjaya mendapat apa yang majoriti kerusi payah hendak dapat, di mana keadilannya?” soalnya.

Katanya, perkara sama dapat dilihat dalam sejarah PRU sebelum ini, di mana UMNO melalui kerjasama dalam BN dengan berslogankan ‘setiakawan’ telah beberapa kali meletakkan calon bukan Melayu di kawasan dikomposisi bangsa berkenaan.

Malah katanya, tindakan itu bertujuan bagi memastikan kemenangan ke atas calon bukan Melayu, yang dianggap penting dan mempunyai aset dalam gabungan parti itu.

”Walhal telah jelas, bagaimana kaum yang diberi kepercayaan ini pernah menunjukkan sikap sebenar mereka di sebalik slogan ‘setiakawan’ itu. Semuanya bermula dengan jelas ketika PRU13, dan kemuncaknya pada PRU14 sehingga tumbangnya kerajaan BN.

“Adalah difahamkan bilangan atau jumlah kaum bukan Melayu yang belot atau yang langgar perjanjian ketika praMerdeka dahulu, sudah mencecah sehingga 90 peratus semasa PRU14. Persoalannya, di mana janji setiakawan? Malah atau ada yang mendakwa tidak ada perjanjian ‘setiakawan’?,” soalnya sinis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button