Berita Utama

Sudahlah dikhianati negara Teluk Arab, Gaza pula tak henti diserang!

Serangan udara Israel sasar pangkalan latihan dikendali Hamas

GAZA, 28 Muharram 1442H, Rabu – Ketika rakyat Palestin marah terhadap tindakan negara-negara Teluk Arab menormalkan hubungan dengan Zionis, rejim pengganas Israel mengambil kesempatan menyerang wilayah Gaza yang dikepung, hari ini.

Menurut Middle East Monitor (MEMO) yang memetik saksi berkata, serangan udara itu tersasar di sebuah pangkalan latihan dikendalikan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Pasukan tentera Israel tidak mengesahkan serangan itu, sebaliknya mendakwa serangan dari Palestin mencetuskan siren amaran roket di komuniti bersempadan Israel-Gaza. 

Tentera Israel mendakwa, beberapa jam sebelum serangan udara itu, roket yang ditembak dari Gaza menyerang bandar Ashdod, didakwa mencederakan dua individu. 

Serangan antara dua pihak itu berlaku sehari selepas Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani perjanjian menormalkan sepenuhnya hubungan dengan Zionis. 

Majlis berkenaan telah dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di White House. 

Tindakan Bahrain dan UAE mencetuskan kemarahan rakyat Palestin, yang menyifatkan ia sebagai detik hitam serta pengkhianatan kepada perjuangan memerdekakan negara itu.

Bahrain menjadi negara Arab keempat menjalinkan hubungan dengan Israel pada Jumaat lalu, setelah Mesir pada tahun 1979, Jordan pada 1994 dan UAE pada Ogos lalu. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button