Berita Utama

63 tahun merdeka, usah lagi bahas ketuanan Melayu

Semua bangsa kongsi kemakmuran bersama pasca merdeka

KUALA LUMPUR, 29 Muharram 1442H, Khamis – Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz menegaskan, konsep Ketuanan Melayu atau kedudukan istimewa seharusnya tidak menjadi perbahasan lagi.

Ini kerana, katanya, semua bangsa selama ini sudah berkongsi kemakmuran bersama di negara ini.

Katanya, pembangunan bangsa di Malaysia sudah berada di landasan yang benar malah memberikan kebebasan kepada semua.

Justeru, tegasnya, perkara terpenting ketika ini adalah bagaimana membina hubungan serta pembinaan antara bangsa.

“Setiap bangsa mempunyai cabaran masing-masing, tetapi tentu sahaja kita percaya setiap bangsa diberi cabaran yang berbeza, tetapi cabarannya adalah apa yang dapat kita lalui dengan lancar.

“Kita sekarang sudah berada dalam 63 tahun kemerdekaan. Saya rasa Malaysia sudah melakukan banyak perkara baik.

“Kita adalah bangsa dan teladan kepada dunia, bagaimana kita menguruskan masalah kita, kita juga tidak ada (konflik) dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Pada masa sama, beliau berkata, negara lain turut mempunyai cabaran tersendiri meskipun daripada ras dan bangsa yang sama.

“Setiap negara mempunyai masalah yang unik serta cabaran masing-masing walaupun ada negara yang mana rakyatnya berasal dari bangsa yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum ‘Social Contract’ And The Future Of Nation-Building In Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir Prof Madya Program Sejarah di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Abd Rahman Tang Abdullah sebagai panel dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil sebagai moderator.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button