Berita Utama

Batalkan cadangan jual aset TH Plantations: PEMBELA

Wujud elemen tidak telus dalam proses jual harta milik umat Islam

BANGI, 29 Muharram 1442H, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan berhubung cadangan penjualan aset milik Tabung Haji Plantations Sdn Bhd (THP) membabitkan ladang seluas hampir 77,000 hektar.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, keputusan menjual 14 anak syarikat THP yang memiliki ladang berkeluasan 76,957 hektar, bersamaan 76.2 peratus daripada jumlah keseluruhan ladang milik anak syarikat THP dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Ogos 2019.

Penjualan itu juga menyebabkan keluasan ladang milik THP sebanyak 100,976 hektar telah berkurangan sebanyak 76.2 peratus kepada 24,000 hektar sahaja.

Semakan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menunjukkan daripada 14 anak syarikat terbabit, empat daripadanya mencatatkan keuntungan iaitu THP Ibok, THP Pelita Sadong, THP Pelita Gedong dan Hydroflow, kata beliau.

Ahmad Marzuk berkata, keputusan menjual ladang-ladang ini telah dibuat semasa harga minyak sawit mentah mengalami kejatuhan serius yang menyebabkan anak-anak syarikat THP mengalami kerugian.

“Kejatuhan harga minyak sawit mentah itu adalah disebabkan oleh tindakan Pakatan Harapan yang tidak menjaga hubungan dagangan dengan China dan India yang akhirnya menyebabkan eksport sawit negara jatuh mendadak,” katanya.

Menurutnya, ia susulan harga minyak sawit mentah (CPO) jatuh teruk, menyebabkan anak syarikat THP mengalami kerugian.

Beliau berkata, pelupusan Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisan Mas Sdn Bhd yang membabitkan kawasan seluas 6,514 hektar kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd – syarikat bukan Bumiputera – juga sedang dimuktamadkan.

Menurut sumber yang dipercayai, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, terdapat elemen-elemen ketidaktelusan dalam proses penjualan itu.

“PEMBELA merasakan bahawa ini merupakan perkara yang serius kerana melibatkan harta umat Islam (Tabung Haji) dan perlu tindakan yang tuntas dan tegas.

“Oleh itu, PEMBELA mendesak agar pihak pengurusan THP dan pihak Unit Perancangan Ekonomi (EPU) membatalkan cadangan penjualan syarikat subsidiari ini bagi melindungi pemilikan harta umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, PEMBELA juga mengesa Menteri Agama menyiasat isu yang dibangkitkan, dan sekiranya terbukti benar, maka pengurusan THP mestilah bertanggungjawab dan meletak jawatan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat proses penjualan ini dan mengambil tindakan jika terdapat berlaku salah guna kuasa oleh pihak pengurusan atau Lembaga Pengarah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button