Berita Utama

Enam pelajar, tujuh guru di Lahad Datu positif COVID-19

Kes dikesan ketika pemeriksaan saringan kontak Kluster Benteng LD

KOTA KINABALU, 29 Muharram 1442H, Khamis – Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi mengesahkan enam pelajar dan tujuh guru daripada tiga sekolah di daerah Lahad Datu dijangkiti wabak COVID-19.

Beliau berkata, mereka adalah kes ke-921, 922 dan 925 hingga ke-935 yang dikesan ketika pemeriksaan saringan kontak Kluster Benteng LD dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, semua kes sudah berada di bawah jagaan Hospital Lahad Datu.

“Selain itu, kes ke-917 hingga 920 membabitkan petugas kesihatan yang sudah dikesan positif wabak berkenaan semasa saringan kontak bagi kes ke-436.

“Bagi kes ke-923 dan 924 ialah kontak serumah kepada petugas kesihatan terbabit. Semua mereka yang disahkan positif juga sudah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, seramai 35 orang kena tahan (OKT) di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (OPD) Lahad Datu turut dikesan positif COVID-19.

Jumlah itu membabitkan 20 lelaki bukan warganegara dan 15 lelaki warga tempatan iaitu kes ke-882 sehingga 916.

Dr Christina berkata, 937 kes positif COVID-19 dicatatkan di Sabah sehingga semalam.

Jumlah berkenaan menunjukkan pertambahan 60 kes baharu di lima daerah seperti Lahad Datu (54), Sandakan (tiga) dan masing-masing satu kes di Tawau, Kunak dan Kota Kinabalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close