Berita Utama

Francis Light tidak buka Pulau Pinang!

Nama Bagan ditukar ke Butterworth kerana nama seorang Residen British

BANGI, 29 Muharram 1442H, Khamis – Di mana pun penjajah bertapak di sesebuah negara, mereka akan menukar nama tempat bagi memastikan sejarah asalnya tidak diingati oleh generasi akan datang. 

Demikian kata Aktivis gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU), Ustaz Budiyanto Unggun sempena Kempen Kembalikan Nama Asal Hapuskan Jejak Penjajah – Kembalikan Nama Bagan Tuan Kechil. 

Beliau menjelaskan, nama asal Bagan yang bermaksud jeti, mempunyai hampir 10 tempat yang namanya bermula dengan Bagan antaranya Bagan Dalam, Bagan Luar, Bagan Tuan Kechil – satu sejarah yang tidak boleh dihapuskan. 

Ustaz Budiyanto berkata, pertukaran nama Bagan ke Butterworth adalah bersempena nama seorang Residen British yang bertukar dari Bengal, India ke Bagan iaitu William John Butterworth.

Katanya, ia dilakukan sedemikian untuk menghapuskan sejarah supaya tidak diingati oleh generasi muda. 

Dalam ucapannya, beliau berkata, Dataran Dato Haji Ahmad Badawi juga pernah menyaksikan pertempuran hebat di antara Angkatan Tentera Kedah yang diketuai oleh Sultan Kedah dengan British apabila Francis Light cuba menipu tuanku ketika itu. 

Katanya, Sultan Kedah berjaya menghimpunkan 1,000 sampan yang disertai oleh ribuan tentera untuk merampas semula jeti Tanjong Penaga dan berkumpul di Kuala Perai pada 4 pagi.

“Kawasan ini pernah didatangi dua adik-beradik, Sheikh Akhil Mohammad dan Sheikh Ghulam Mohammad dari Selatan Afganistan pada tahun 1765. 

“Ketika mereka datang, sudah ada orang Melayu di sini dan mereka mengajar tentang agama Islam dan membina masjid. 

“Oleh itu, sejarah yang menyatakan Francis Light membuka Pulau Pinang adalah satu pencabulan terhadap sejarah Pulau Pinang, katanya.  

Sementara itu, Ketua Pemuda ISMA Pulau Pinang, Muhamad Zulazmi Saidin berharap kempen ini berjaya dilaksanakan dengan sokongan semua pihak.

Beliau berharap, perubahan nama asal akan memberi nafas baharu kepada generasi akan datang. 

Bersempena dengan cuti Hari Malaysia pada 16 September, Pemuda ISMA Seberang Perai Utara (SPU) bersama Yayasan Maghfirah dan Kuda Besi menghimpunkan pemuda sekitar Pulau Pinang untuk menyertai Jelajah Utara yang kedua bagi Kempen Kembalikan Nama Asal Hapuskan Jejak Penjajah – Kembalikan Nama Bagan Tuan Kechil. 

Konvoi motor itu turut disertai Naib Yang Dipertua ISMA SPU, Muhammad Hafiz Abd Rahim.

Anggota konvoi ini berkesempatan untuk menziarahi Pak Ngah di Kota Kuala Muda bagi menghayati peristiwa tsunami yang pernah berlaku pada tahun 2004.

Selain itu, anggota konvoi turut melakukan serahan sumbangan kepada asnaf dan ibu tunggal di sekitar Kampung Kota Kuala Muda dan Kampung Permatang Sungai Dua, gotong-royong membersihkan masjid di Kampung Permatang Sungai Dua, sembang santai Pemuda Merdeka dan BBQ di Pantai Robina.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button