Krisis kewangan punca UNRWA tak dapat bantu pelarian Palestin
AS sekat bantuan sejak 2018, Trump rancang perkara yang hanya untungkan Israel
BEIRUT, 29 Muharram 1442H, Khamis – Agensi Kerja dan Bantuan Pelarian Palestin (UNRWA) mengalami krisis kewangan yang teruk sehingga terpaksa menghentikan beberapa perkhidmatan dan bantuan kepada lebih dari lima juta pelarian Palestin.
Ketua agensi itu, Philippe Lazzarini dalam satu wawancara bersama The Associated Press (AP) di Beirut pada Rabu memberi amaran bahawa, faktor penularan wabak COVID-19, kemerosotan ekonomi di Lubnan dan defisit besar dalam anggaran dana UNRWA adalah antara punca bantuan dihentikan kepada pelarian Palestin.
UNRWA ditubuhkan pada 1949 selepas 700,000 penduduk Palestin dipaksa meninggalkan negara mereka oleh tentera Zionis untuk mewujudkan negara Israel.
UNRWA juga membantu lebih dua juta penduduk Gaza yang menderita akibat sekatan rejim Zionis sejak 10 tahun lalu.
Agensi itu menyediakan perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan, makanan dan sebagainya kepada 5.8 juta pelarian Palestin di Tebing Barat, Gaza, Jordan, Syria dan Lubnan.
Krisis kewangan UNRWA turut berlaku disebabkan kehilangan dana daripada penderma terbesar negara pembuli, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2018.
AS memberikan AS$360 juta kepada UNRWA pada 2017, AS$60 juta pada tahun 2018, manakala tiada dana diberi pada tahun ini.
Presiden AS Donald Trump pada Januari 2018 menegaskan bahawa rakyat Palestin perlu kembali ke rundingan damai dengan Israel bagi menerima wang bantuan AS.
Semenjak itu, Trump memulakan rancangan yang menguntungkan Israel namun ditolak oleh rakyat Palestin.
UNRWA melaporkan sebanyak 6,876 kes COVID-19 yang telah disahkan dalam kalangan pelarian Palestin, yang kebanyakan di Tebing Barat, dimana kira-kira 5,000 kes telah dikesan.
Lubnan menempatkan puluhan ribu rakyat Palestin dan merekodkan 430 kes COVID-19 di kem pelarian. -Agensi