Berita Utama

Lelaki 19 rekod jenayah, dikehendaki polis ditahan

Polis turut rampas senjata tajam, suspek positif dadah jenis heroin

KUALA LUMPUR, 29 Muharram 1442H, Khamis – Polis menahan seorang lelaki yang mempunyai 19 rekod jenayah dan dikehendaki polis bersabit kes dadah dan khianat, di Bangsar semalam, kerana didapati memiliki senjata tajam dan motosikal curi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan semasa rondaan cegah jenayah pada pukul 11.20 pagi ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil semakan polis mendapati motosikal yang ditunggang lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pernah dilapor hilang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata,  polis merampas satu senjata tajam iaitu buku lima dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis heroin.

Zairulnizam berkata lelaki itu juga mengaku pernah terbabit dengan kes curi motosikal di Danau Kota bersama seorang lagi rakan.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 kerana memiliki senjata berbahaya, Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki motosikal curi dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan salah guna dadah,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button