Meski dikhianat, Palestin tak putus asa pertahan Masjid al-Aqsa
Berpegang teguh pada prinsip hidup biar mulia, mati biar syahid
BANGI, 29 Muharram 1442H, Khamis – Rakyat Palestin sejak dahulu tidak pernah berputus asa mempertahankan Masjid al-Aqsa dan bumi mereka daripada terus dijajah oleh rejim pengganas Israel.
Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, kisah pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin bukanlah suatu yang baharu.
Namun begitu, katanya, mereka tidak pernah merakamkan wajah sugul terhadap siri pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin negara Arab dan juga tali barut.
“Usaha penjajahan Palestin dimulakan seawal tahun 1897 setelah berlakunya persidangan Zionis sedunia di Basel, Switzerland yang memutuskan untuk menjadikan Palestin sebagai negara yang dikhususkan untuk bangsa Yahudi.
“Pelbagai usaha licik Zionis yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pengkhianatan pemimpin Arab sendiri menyebabkan mereka berjaya membina negara haram Israel pada 15 Mei 1948.
“Mesir menjadi negara Arab yang pertama melakukan pengkhianatan ini dengan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat dan diikuti oleh Jordan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Lebih dikesali, katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menjadi bisu dan pekak dengan permasalahan Palestin apabila kebanyakan pemimpin berpenyakit wahan dan memberikan ketaatan kepada Amerika Syarikat (AS), sebagai abang besar dunia.
Prof Zainur Rashid berkata, 13 Ogos lepas melakarkan kesinambungan sejarah hitam Palestin yang dijajah apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengiktiraf Israel dan diikuti oleh Bahrain pada 11 September.
“Apa yang mereka usahakan ialah berjuang mempertahankan tanah wakaf umat sejahat ini sehingga menang, atau bertemu Allah dalam keadaan syahid. Hidup biar mulia, mati biar syahid.
“Biar pun semua pemimpin Arab dan dunia antarabangsa melutut kepada Israel, mereka akan terus berjuang untuk reda dan syurga Allah SWT,” katanya.