Muda Malaysia parti baharu Syed Saddiq
Pemimpin parti terdiri daripada orang muda berkongsi idealisme sama

PUTRAJAYA, 29 Muharram 1442H, Khamis – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat permohonan pendaftaran parti baharu, yang dikenali sebagai Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), hari ini.
Syed Saddiq berkata, walaupun dikenali sebagai Muda namun parti itu membuka keahlian kepada semua lapisan masyarakat dan pelbagai kaum.
“Muda akan menjadi parti untuk semua kaum dan agama, yang pemimpinnya akan terdiri daripada individu muda.
“Parti ini mengalu-alukan mereka yang berkongsi ideologi, idealisme, pemahaman dan perjuangan kita,” katanya selepas hadir di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Putrajaya untuk mengemukakan permohohan pendaftaran parti baharu tersebut.
Mengulas mengenai kelulusan pendaftaran Muda Malaysia, Syed Saddiq berkata, ia terpulang kepada ROS.
Bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa beliau akan mengumumkan struktur parti itu tidak lama lagi.
“Struktur organisasi kita akan maklumkan kemudian tetapi kami mempunyai 13 penaja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Ramai yang berminat untuk membawa politik baru ke negara ini, supaya kita tidak lagi terjebak dengan politik lama yang menyukarkan kita untuk maju,” katanya.