Normalisasi dorong Israel laku lebih banyak kezaliman
17 NGO Bahrain bantah tindakan kerajaan jalin kerjasama dengan Zionis
MANAMA, 29 Muharram 1442H, Khamis – Sebanyak 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bahrain dengan kerjasama Gabungan Umum Kesatuan Pekerja membantah perjanjian normalisasi negara itu dengan Israel.
Menurut agensi berita Anadolu, NGO-NGO berkenaan menegaskan bahawa hubungan diplomatik itu tidak membawa kepada perdamaian.
Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa menandatangani perjanjian normalisasi dengan Israel di Washington.
Perjanjian itu turut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyifatkannya sebagai hari bersejarah.
Dalam satu kenyataan bersama, NGO-NGO itu berkata, segala bentuk hubungan normalisasi dengan entiti Zionis yang dijalinkan bersama negara lain tidak menyebabkan perdamaian, mahupun mengembalikan hak rakyat Palestin yang dirampas.
“Sebaliknya, ia mendorong musuh (Israel) untuk melakukan lebih banyak kezaliman terhadap Palestin dan tempat suci umat Islam, terutamanya di Baitulmaqdis, “ kata kenyataan itu
Kenyataan itu juga mendakwa, penjanjian itu juga telah menimbulkan kejutan, kebencian dan penolakan rakyat Bahrain secara meluas. -Agensi