Pertahan nama tempat diberi penjajah bunuh identiti Malaysia
BERJASA sokong penuh kempen tukar nama Georgetown, Butterworth
BANGI, 29 Muharram 1442H, Khamis – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menyambut baik serta menyokong sepenuhnya ‘Kempen Kembalikan Nama Asal, Hapuskan Jejak Penjajah’ yang dibawa oleh Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Sebelum ini, Pemuda ISMA dalam kempennya menuntut nama asal Bukit Melaka dikembalikan bagi menggantikan nama diberi oleh penjajah iaitu Bukit St Paul.
Seterusnya, kempen ini disebar luas di Negeri Sembilan kerana ada yang menamakan sesetengah kawasan dengan nama asing – Bandar Ainsdale dan Forest Height.
Terbaharu, Pemuda ISMA berkempen supaya nama Tanjong Penaga diguna pakai semula menggantikan nama Georgetown dan nama Butterworth kepada Bagan Tuan Kechil.
Timbalan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Hamidi Abu Hassan dalam pidatonya menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kempen yang dianjurkan oleh Pemuda ISMA itu.
“Seperti mana yang kita tahu, kemerdekaan negara kita yang berlaku pada 1957 menjadikan kita bebas daripada penjajahan British.
“Tetapi sedar atau tidak kemerdekaan yang kita kecapi ini boleh terlepas atau hilang begitu sahaja jika kita tidak berhati-hati dengan gerakan-gerakan yang dijalankan di dalam negara kita untuk membunuh identiti Malaysia,” katanya.
Ustaz Hamidi turut menegaskan bahawa tujuan kempen adalah untuk mengekalkan nama tempat yang diberikan oleh nenek moyang Melayu sebelum merdeka lagi.
Beliau menegaskan. Malaysia adalah watan Merdeka, watan berdaulat serta mempunyai identiti yang tersendiri yang menjulang Islam sebagai agama Persekutuan.
Justeru, tegasnya, tidak boleh ada mana-mana pihak mempertikaikan kedudukan Islam di negara ini.
“Kita memahami Islam sebagai agama Persekutuan dengan kefahaman dan tafsiran kita, bukan mengikut tafsiran penjajah.
“Bermakna yang menjadi tonggak kepada perundangan dan peraturan di dalam negara ini adalah Islam yang berteraskan kepada al-Quran dan sunnah.
“Segala yang termaktub dalam Perlembagaan mesti dijunjung tinggi oleh rakyat dan tidak boleh dipertikaikan dan berkempen untuk menidakkan perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.