Berita Utama

Rakyat Sabah kena bijak buat pilihan

Komponen parti Gabungan Rakyat Sabah berlumba jadi calon KM

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Muharram 1442H, Khamis – Kepelbagaian parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memberi peluang kepada pengundi untuk memilih parti yang boleh memimpin dan memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat negeri itu.

Terdahulu, seramai 447 calon diumumkan mewakili pelbagai parti akan bertanding dalam PRN Sabah yang akan berlangsung pada 26 September ini.

Parti yang bertanding ialah Parti Cinta Sabah (PCS) seramai 73 calon, Parti Warisan Sabah (Warisan) 53 calon, Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) 47 calon, Parti Liberal Demokratik (LDP) 46 calon.

Seterusnya Barisan Nasional (BN) 41 calon, Perikatan Nasional (PN) 29 calon, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) 28 calon dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) 23 calon.

Selain itu, Parti Bersatu Sabah (PBS) 22 calon, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) 12 calon, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tujuh calon, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dua calon dan Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) dua calon.

Parti Amanah Negara (PAN), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERTUBUHAN) masing-masing satu calon manakala 56 calon dari Bebas dan terdapat seorang calon ditolak dari UPKO kerana tidak layak disebabkan muflis.

Difahamkan, BN akan bertembung dengan sekutunya, PN dan PBS di 17 daripada jumlah 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah.

Kerusi tersebut adalah Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan and Tanjung Aru.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpandangan pertembungan Gabungan Rakyat Sabah – gabungan parti disertai BN, PN dan PBS – di 17 DUN menunjukkan strategi politik yang mana parti-parti politik kecil bertanding untuk berlumba mendapatkan seberapa banyak kerusi yang memberi kesan kepada pemilihan Ketua Menteri Sabah nanti.

“Sudah pasti parti yang memiliki banyak kerusi boleh memilih pemimpin mereka untuk menjadi calon Ketua Menteri.

“Selain itu, pertembungan tersebut juga menunjukkan semangat demokratik dalam kalangan parti-parti yang bertanding kerana setiap parti dan gabungan parti memiliki manifesto yang berbeza terutamanya untuk memancing undi daripada pengundi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, Dr Syed Agil percaya kepelbagaian parti ini memberi peluang kepada para pengundi untuk memilih parti mana yang boleh memimpin dan memperjuangkan nasib dan masa depan para penduduk bagi sesuatu kawasan DUN secara efisyen dan berkesan.

“Para pemimpin parti berusaha untuk meraih seberapa banyak undi daripada pengundi untuk mendapatkan keyakinan dalam kalangan pengundi terhadap perjuangan parti-parti berkenaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close