Saya peluk Islam hanya untuk berkahwin tetapi…
Ibu lima anak rasa hidup diberkati selepas dalami Islam
BANGI, 29 Muharram 1442H, Khamis – Cindy – Ibu kepada lima orang anak – tidak menyangka niat memeluk Islam untuk berkahwin telah dibukakan hati bagi mendalami agama suci itu.
Wanita yang menetap di Jerman itu melafazkan kalimah syahadah tujuh tahun lalu, namun memanggil dirinya muslim sekitar dua tahun lalu.
Masa yang sukar
Cindy menceritakan dia menempuhi usia remaja yang sukar. Selain tinggal bersama-sama ibu bapa angkat yang berbeza dan berhenti sekolah, dia juga seorang ibu muda.
“Saya tidak gembira, saya tidak tahu apa masa depan saya. Saya berasa kehilangan. Saya cuba menjadi ibu yang baik tetapi tidak mendapat sokongan daripada keluarga. Suatu hari saya berjumpa dengan suami saya. Dia jauh lebih tua tetapi mengambil berat mengenai saya. Namun, dia beragama Islam.
“Walaupun dia tidak mengamalkan Islam, dia mengatakan kepada saya bahawa untuk berkahwin, saya perlu menjadi muslim. Jika tidak, keluarganya tidak akan menerima kami.
“Buat pertama kali dalam hidup, saya merasakan bahawa seseorang benar-benar mengambil berat tentang saya. Saya menerima Islam untuk dapat hidup bersama suami saya. Itu adalah keputusan terbaik dalam hidup saya,” katanya.
Pasangan itu berkahwin selepas Cindy mengucapkan syahadah secara rasmi, namun kehidupan dia berubah menjadi lebih baik lima tahun kemudian apabila bertemu dengan seorang rakan dari zaman kanak-kanak yang telah memeluk Islam.
“Tetapi berbeza dengan saya, dia menutup kepalanya, berdoa, membaca al-Quran dan berpuasa. Dia terpancar dengan cahaya khas. Dia bercakap mengenai Tuhan dan kasih-Nya kepada kita dan cinta kita kepada-Nya.
“Saya terkejut. Adakah itu Islam yang saya terima untuk berkahwin dengan suami saya? Saya bertanya pada diri sendiri. Saya menjadi sangat berminat untuk belajar lebih banyak mengenai Islam,” katanya.
Jalan untuk mendekati Allah
Cindy yang berusia lewat dua puluhan itu berkata, perkara pertama yang diajarkan oleh rakannya adalah mengucapkan syahadah lagi, kali ini dengan keyakinan yang benar.
“Kemudian saya perlahan-lahan belajar solat. Tidak mudah bagi saya untuk mempelajari perkataan dan ayat yang harus saya baca dalam solat. Saya disleksia tetapi Alhamdulillah kerana rahmat Tuhan yang tidak terhingga saya sekarang dapat membaca al-Fatihah dengan lancar.
“Saya cuba menunaikan solat lima waktu. Dan baru-baru ini saya juga mula memakai tudung. Kemajuan saya mungkin lambat, tetapi itu cara saya untuk menghadap Allah.
“Saya percaya bahawa Dia tahu perjuangan dan setiap langkah kecil yang saya ambil untuk menjadi muslim yang lebih baik,” katanya.
Apa yang didapati dalam Islam
“Mengamalkan Islam mengubah hidup saya. Akhirnya merasakan saya dimiliki. Rasa indah untuk mengetahui bahawa pada dasarnya saya mempunyai keluarga muslim yang sangat besar. Saya menemui kestabilan dan kedamaian, sesuatu yang selalu saya rindui sejak kecil.
“Saya ingin belajar lebih banyak dan menjadi muslim yang lebih baik kerana mahu anak-anak saya mempunyai teladan yang baik untuk diikuti. Saya mahu mereka melihat ibu mereka mengasihi Allah, berdoa dan menjadi wanita muslim yang jujur.
“Saya berdoa setiap hari agar mereka mengikuti saya dalam hidup dan mencintai Islam,” katanya.
Kesan hidup Islam
Lebih mengembirakan hati Cindy apabila suaminya mula perlahan-lahan kembali kepada Islam selepas melihat dia mengamalkan agama itu.
“Walaupun dia tidak pernah meninggalkan Islam, dia tidak mengamalkannya selama bertahun-tahun. Alhamdulillah, tahun lalu kami berpuasa Ramadan bersama-sama. Ia indah dan saya merasakan banyak berkat turun ke atas keluarga saya.
“Saya berdoa kepada Allah agar kita dapat berjalan bersama untuk mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.
Artikel ini adalah terjemahan daripada penulisan Claudia Azizah yang juga pengasas bersama Institut Ulu-Ilir di Indonesia.