Berita Utama

UAE, Bahrain lihat bela maruah Palestin ibarat ‘neraka’

Segala berlaku hari ini sebenarnya tepati janji Allah SWT

BANGI, 29 Muharram 1442H, Khamis – Umat Islam disaran untuk tidak bersedih atas ujian yang dihadapi Palestin hari ini, susulan tindakan dua buah negara Arab yang menjalinkan hubungan normalisasi dengan Israel.

Sebaliknya, Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda, Abdul Muein Abadi berkata, umat dari agama Allah SWT itu wajib berpegang teguh dengan ijmak para ulama dalam memacu dasar politik mahupun geopolitik.

Beliau berkata, segala yang berlaku pada hari ini sebenarnya menepati janji Allah SWT, bahawa Yahudi akan berkuasa di Asia Barat menjelang akhir zaman kelak.

“Dengan kemuncaknya Dajjal akan muncul beraja.

“Hakikatnya, kita tidak perlu berputus asa dengan janji Allah SWT jika seluruh pemimpin dunia Arab bertindak meninggalkan Palestin bersendirian dan menjalinkan hubungan dengan Israel.

“Begitulah hampirnya analogi tindakan UAE (Emiriah Arab Bersatu) dan Bahrain yang melihat tindakan menjalin hubungan dengan rejim Zionis sebagai ‘syurga’, manakala perjuangan membela maruah dan hak Palestin ibarat ‘neraka’,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, Bahrain pada minggu lepas bersetuju mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel selepas UAE melakukan perkara sama pada 13 Ogos lalu.

Kedua-dua negara itu pada Selasa menandatangani perjanjian normalisasi dengan Israel sambil disaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, di Washington.

UAE dan Bahrain kini adalah negara Arab ketiga dan keempat yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994.

Kesal dengan perkara itu, Abdul Muein berkata, perkara itu membuktikan bahawa isu penjajahan rejim Zionis ke atas bumi Palestin dan tempat suci ketiga umat Islam, iaitu Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis al-Quds bukanlah masalah besar bagi pemimpin UAE dan Bahrain.

Abdul Muein berkata, pemimpin kedua-dua negara itu lebih mengutamakan restu Washington dan redha Tel Aviv.

Beliau berkata, UAE juga lebih berminat mengampu AS untuk membeli pesawat pejuang F-35 meskipun tindakan itu dibantah Israel.

Malah, katanya, Bahrain lebih takut akan negara Iran – susulan majoriti rakyat negara itu berpegang dengan doktrin Syiah – berbanding murka Allah SWT kepada hamba yang bersekongkol dengan pembunuh dan penjajah saudara Islam mereka sendiri.

“Pemimpin UAE dan Bahrain tentunya mengetahui apa yang terjadi kepada Palestin, selepas menandatangani Perjanjian Oslo pada tahun 1993,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendakwa, janji keamanan hanyalah helah rejim Zionis untuk menjinakkan pemimpin Arab yang buta percaturan geopolitik, di mana Gaza terus dikepung serta Tebing Barat tidak pernah aman dan stabil untuk jangka masa lama.

“Pemimpin UAE dan Bahrain tidak buta dan tidak tuli. Tetapi ternyata mereka sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga.

“Sepertimana Fatah dahulu dicucuk hidung untuk melaga-lagakan umat Islam dengan Islamis Hamas, begitulah UAE dan Bahrain saat ini yang lebih takutkan pengaruh Ikhwan Muslimin, Turki dan Iran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close