11,464 warga India dibawa balik dari Malaysia
Di antara bulan Mei, Ogos di bawah skim perjalanan COVID-19
NEW DELHI, 30 Muharram 1442H, Jumaat – India membawa pulang 11,464 warganya dari Malaysia antara Mei dan Ogos di bawah skim perjalanan yang dilancarkan untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan semasa pandemik COVID-19.
Mereka adalah antara ratusan ribu warga India yang dipindahkan dari luar negara menerusi penerbangan dikendalikan syarikat penerbangan India serta perkhidmatan sewa khas syarikat penerbangan India dan asing.
Sebanyak 5,817 penerbangan ke India dikendalikan untuk membawa pulang warga India sehingga akhir Ogos di bawah misi Vande Bharat, dilancarkan pada Mei, Menteri Penerbangan Awam Hardeep Singh Puri memberitahu parlimen.
Mereka yang kembali kebanyakannya adalah warga India bukan penduduk (NRI) dan sebahagian besar daripada mereka pulang dari negara-negara Arab Teluk, Amerika Syarikat dan Eropah kerana gangguan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik tersebut.
Menurut perincian penerbangan yang diciap menteri berkenaan, kira-kira 1,300 lagi warganegara India telah pulang dari Malaysia pada September. – Bernama