Berita Utama

Dakwa sekolah kebangsaan terlalu Islamik fenomena Islamophobia

Masa depan anak 'terbakar' jika masih terikat sistem pelajaran asing

BANGI, 30 Muharram 1442H, Jumaat – Dakwaan sekolah kebangsaan terlalu Islamik sehingga mengabaikan mata pelajaran Sains dan Teknologi menunjukkan fenomena Islamophobia yang menebal serta prejudis jahat terhadap aliran sekolah kebangsaan.

Bahkan ia juga alasan untuk terus mengekalkan sekolah vernakular, kata Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau menegaskan, punca utama tidak memilih sekolah kebangsaan adalah kerana tiada kesetiaan kepada negara.

“Mereka masih terikat dengan sistem pelajaran asing.

” Selagi mana mereka terus beralasan yang tidak matang seperti ini, mereka sebenarnya membakar masa depan anak-anak mereka yang dihantar ke aliran vernakular,” tegasnya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyatan tiga aktivis yang menyifatkan sekolah kebangsaan sebagai tidak fokus kepada pendidikan, sebaliknya terlalu Islamik sehingga mengabaikan pengetahuan dalam mata pelajaran Sains dan Teknologi.

Dakwaan terlalu Islamik menjadi punca ibu bapa bukan Bumiputera memilih sekolah vernakular berbanding sekolah kebangsaan itu, hasil kesimpulan sesi debat bertajuk Suara Gerak Independent: The Vernacular School Debate anjuran Maju Foundation, baru-baru ini.

Dalam debat itu, Arun Doraisamy, Phun Teck Seng dan Sam Saad berpandangan sama dan menyimpulkan bahawa sekolah kebangsaan sangat menekankan aspek keagamaan berbanding sekolah vernakular yang menekankan bahasa ibunda, perpaduan dan pengetahuan.

Sebelum ini, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) turut menyifatkan dakwaan itu sebagai prejudis dan tidak menggambarkan kefahaman mendalam terhadap Falsafah Pendidikan serta dangkal.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, ia tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta betul kerana masih ada lagi ibu bapa bukan Islam menghantar anak mereka di sekolah kebangsaan bahkan sekolah berasrama penuh (SBP) masih menempatkan murid bukan Melayu.)

“63 tahun merdeka tidak seharusnya menjadikan semua pihak memandang rendah terhadap sekolah kebangsaan, sebaliknya berusaha memperkasa dan memartabatkan sekolah kebangsaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button