KUALA LUMPUR, 30 Muharram 1442H, Jumaat – Jumlah kes baharu positif COVID-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam kekal dua angka – 95 kes – selain turut merekodkan satu kematian selepas 17 hari sifar kes maut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 10,147 kes dengan 129 kematian, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 754.
Kes baharu tersebut melibatkan 91 penularan tempatan dan empat kes import, katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi kes penularan tempatan, 90 adalah di Sabah iaitu 76 kes direkodkan dalam Kluster Benteng Lahad Datu (LD) melibatkan 56 rakyat tempatan dan 20 warga asing, empat kes termasuk satu warga asing daripada Kluster Pulau, tiga kes Kluster Selamat, dan tiga kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) termasuk seorang warga asing di Hospital Lahad Datu. – Bernama